
PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menghadiri Majlis Sungkei Perdana yang disertai pemimpin tertinggi negeri di Surau Astana Negeri Sarawak semalam.
Ketibaan tetamu jemputan bermula seawal 6.00 petang diikuti kehadiran menteri kabinet serta dif kenamaan bersama pasangan masing-masing pada 6.15 petang.

Tun Wan Junaidi bersama Toh Puan Fauziah kemudiannya berangkat tiba pada 6.45 petang.
Majlis dimulakan acara berbuka puasa diikuti bersungkei bersama para tetamu yang hadir.
Selepas berbuka puasa, jemputan menunaikan solat fardu Maghrib secara berjemaah sebelum menikmati jamuan makan malam yang disediakan.

Majlis diteruskan dengan solat fardu Isyak dan solat sunat Tarawih secara berjemaah yang dipimpin oleh Imam Besar Negeri Sarawak, Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi, sebelum diakhiri dengan moreh.
Sejurus selesai majlis, Tun Wan Junaidi bersama Toh Puan Fauziah berangkat meninggalkan majlis dengan diiringi oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Turut hadir anak perempuan Premier Sarawak, Dayang Norjihan.
Hadir sama Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian serta Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar. – JAPEN