
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi hadir pada majlis Resepsi Perkahwinan Lilian Binjan Nanta Linggi dan Jaret Jimbau Chabu di sebuah hotel terkemuka, di sini, semalam.
Ketibaan Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah disambut oleh Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi, bersama isteri, Dato Angelina Celestine Ujang, serta ibu pengantin lelaki, Datu Dr Lulie Melling bersama ahli keluarga dan jemputan kenamaan.

Majlis yang penuh dengan elemen budaya dan adat itu dimulakan dengan kemasukan pasangan pengantin ke dewan utama, diikuti tayangan video pertunangan dan perkahwinan, upacara pemakaian kain Pua Kumbu oleh nenek pengantin serta persembahan kebudayaan oleh Yayasan Kebudayaan Sarawak.
Majlis turut diserikan dengan ucapan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Palagus, Wilson Nyabong Ijang, mewakili keluarga pengantin perempuan, yang menzahirkan penghargaan atas kehadiran Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah
Ucapan seterusnya disampaikan oleh Datu Dr Lulie Melling serta Dato Sri Alexander Nanta Linggi yang turut merakamkan kesyukuran atas kelancaran majlis serta kehadiran para tetamu kehormat.

Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah mengucapkan tahniah kepada kedua-dua mempelai serta keluarga, selain mendoakan agar pasangan tersebut dikurniakan kebahagiaan, kesejahteraan dan keharmonian yang berpanjangan.
Turut hadir, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama anakanda beliau, Dayang Nurjihan; Datuk Amar Fadillah Yusof bersama isteri Datin Amar Ruziah Mohd Tahir; Timbalan-Timbalan Premier Sarawak; Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Datuk Awang Bemee Ali Awang Basah dan isteri; Menteri-Menteri serta Timbalan-Timbalan Menteri dan pasangan masing-masing, selain Datuk Patinggi Tan Sri Leonard Linggi Tun Jugah yang merupakan datuk kepada pengantin perempuan.