
PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi tengah hari tadi berkesempatan meluangkan masa bersama keluarga sempena sambutan Hari Bapa, dengan menikmati jamuan makan tengah hari di Oriental Kopi, Vivacity Megamall, Kuching.
Beberapa orang ahli keluarga iaitu anak dan sepupu Tun Wan Junaidi turut serta bagi memeriahkan suasana dalam majlis makan tengah hari tersebut.

Ketibaan Tun Wan Junaidi dan keluarga telah disambut mesra oleh Pengurus Pusat Beli-belah Vivacity Megamall, Encik Jonathan Naming yang mewakili pihak pengurusan pusat beli-belah tersebut.
Tun Wan Junaidi menzahirkan rasa syukur atas kesempatan yang diberikan untuk meluangkan masa berkualiti bersama insan-insan tersayang, apatah lagi pada hari istimewa iaitu Hari Bapa.
Tun Wan Junaidi dan isteri, Toh Puan Fauziah turut berharap agar suasana kekeluargaan yang harmoni terus menjadi asas kekuatan serta sumber kebahagiaan demi mewujudkan ikatan kekeluargaan yang utuh dan penuh kasih sayang dalam kalangan masyarakat.