KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkenan menghadiri Majlis Kesyukuran bersempena sambutan perayaan Hari Lahir ke-78 di Masjid Jamek di sini, semalam.
Majlis tersebut dihadiri kira-kira 1,500 orang yang bermula pada 6.31 petang dengan solat fardu maghrib dan bacaan Yasin yang dipimpin Imam Besar Negeri Sarawak, Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.
Sejurus selepas itu, majlis di teruskan lagi dengan alunan zikir yang dibimbing oleh Gabungan Kumpulan Zikir Bahagian Kuching, di bawah pimpinan Morshidi Udin.
Tun Wan Junaidi, kemudiannya, menunaikan Solat Fardu Isyak bersama jemaah yang hadir.
Dalam majlis sama, terdapat program lain turut diadakan bersempena dengan Sambutan Perayaan Hari Lahir beliau.
Antaranya, Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain yang akan berlangsung, malam ini.
Sehubungan itu, majlis ini turut diikuti dengan Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa di Padang Merdeka, Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Sarawak di Astana Negeri Sarawak serta Majlis Jamuan Negeri di Dewan Santapan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, esok.
Hadir sama, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi perayaan itu, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta tetamu kenamaan lain.