
PETRA JAYA: Sempena 10 Muharram 1447H hari ini, selain daripada menunaikan puasa sunat, Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi turut serta dalam penyediaan bubur asyura di perkarangan Surau Astana Negeri Sarawak pagi tadi.
Ketibaan Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah pada 10.30 pagi disambut mesra oleh, Setiausaha Sulit kepada Tun Wan Junaidi, Junih Salleh Ahmad, Setiausaha Akhbar Kanan kepada Tun Wan Junaidi, Samuel Simon bersama pegawai-pegawai Astana Negeri Sarawak yang lain.
Kehadiran Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah menambahkan lagi kemeriahan acara yang diadakan secara bergotong-royong oleh kakitangan Astana Negeri Sarawak dan diketuai oleh Salleh dan para tukang masak dari Hawa Catering.

Pada kesempatan tersebut, Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah sendiri menyingsing lengan baju untuk menggaul tumisan bubur asyura yang terdiri daripada kekacang, daging, beras, daging dan rempah ratus terpilih.
Menurut beliau, tradisi memasak bubur asyura adalah tradisi lama yang diamalkan sejak berkurun lama di Sarawak khususnya, di mana kanak-kanak pada waktu dahulu akan berkunjung ke rumah-rumah jiran tetangga dihidangkan tuan rumah dengan bubur asyura dan diberikan duit menjadi sedekah dan amal kepada tuan rumah.
Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah menzahirkan rasa syukur atas kesempatan di tahun baru pada 10 Muharram 1447H ini, untuk berkumpul bersama bergotong-royong dengan kakitangan Astana Negeri Sarawak dan mendoakan amalan serta nilai murni akan terus membawa keberkatan, kegembiraan serta kesejahteraan buat semua.