
PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, telah mengadakan Perjumpaan Pramajlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Astana Negeri, hari ini.
Pertemuan yang berlangsung hampir satu jam itu diadakan sebagai sesi persediaan menjelang Mesyuarat Kabinet Negeri.
Selaras dengan peruntukan Perlembagaan Sarawak, Abang Johari telah membentangkan beberapa perkara penting untuk makluman serta pertimbangan Tun Wan Junaidi selaku Yang di-Pertua Negeri.
Tun Wan Junaidi turut mengambil kesempatan menyampaikan pandangan dan penekanan beliau mengenai beberapa perkara dasar kepada Abang Johari dalam suasana yang harmoni dan penuh profesionalisme.
Tun Wan Junaidi menzahirkan keyakinan bahawa di bawah kepimpinan Abang Johari, Sarawak akan terus melangkah maju melalui pelbagai inisiatif strategik yang berfokus kepada kesejahteraan rakyat, pembangunan berkualiti dan kemakmuran wilayah secara menyeluruh.