
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah hadir menyerikan Majlis Kesyukuran Sambutan 70 Tahun Majlis Islam Sarawak (MIS) di Dewan Kompleks Islam Sarawak hari ini.
Majlis kesyukuran yang diadakan penuh sederhana dan dipenuhi keagamaan bermula pada 6.45 petang dengan laungan azan dan solat fardu Maghrib berjemaah, diikuti bacaan Surah Yaasin dan tahlil yang dipimpin oleh Imam Besar Sahibul Fadilah Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.
Ayat-ayat suci Al-Quran turut bergema yang disampaikan oleh Dato Ismawi Duet, Awangku Omar Asfuaddin Awg Hamdan, Mohd Faizzil Affandi dan Hadi Mohd Sharkawi.
Majlis turut diteruskan dengan tausiyah oleh Mufti Sarawak Sahibus Samahah Datu Kipli Yassin yang membawa tema Ummah Maju Makmur.
Acara kemuncak ialah pelancaran simbolik logo 70 Tahun Majlis Islam Sarawak (MIS) yang disempurnakan oleh Tun Wan Junaidi yang menandakan perjalanan tujuh dekad institusi ini dalam memartabatkan syiar Islam di bumi Darul Hana diiringi dengan doa kesyukuran yang dibacakan oleh Dato Mustapha Kamal.
Semasa pelancaran simbolik tersebut, Tun Wan Junaidi turut menyampaikan hadiah kepada pemenang bagi Pertandingan Mencipta Logo 70 Tahun MIS yang dimenangi oleh Mohd Faridzhuan Firdaus Mohd Nayan yang menerima wang tunai RM3,000.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan laungan azan Isyak dan solat fardhu Isyak sebelum diakhiri dengan jamuan makan malam.
–UKAS