PENGHARGAAN… Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud me- nyampaikan cenderamata kepada Panglima Medan Timur Angkatan Tentera, Leftenan Jeneral Dato’ Marzuki Muhamad di Petra Jaya, Kuching.
KUCHING: Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menerima kunjungan hormat daripada Panglima Medan Timur Angkatan Tentera, Leftenan Jeneral Dato’ Marzuki Muhamad di kediaman beliau di Demak Jaya, Petra Jaya, di sini, semalam.
Leftenan Jeneral Dato’ Marzuki Muhamad berkata, kunjungan itu adalah bagi menjemput Tun Pehin Sri Abdul Taib ke Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) pada 30 Mac ini.
“Kehadiran saya hari ini (semalam) adalah sebagai wakil kepada Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk menjemput Tun Pehin Sri Abdul Taib dan Toh Puan Raghad Kurdi Taib untuk menghadiri DSA pada 30 Mac ini.
“Pameran ini akan diadakan di Kuala Lumpur di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur pada 28 Mac hingga 31 Mac ini,” katanya.
Tambah Dato’ Marzuki, pameran kali ini merupakan edisi ke-17 diadakan pada tahun ini yang akan menghimpunkan pemain utama dalam industri pertahanan dan keselamatan.
“Pameran ini diadakan sekali dalam dua tahun dan tahun ini kali ke-17 yang kita buat.
“Ramai pemain industri pertahanan dan keselamatan yang akan datang dan kita jangka sekitar 254 pemain menyertai pameran ini,” ujarnya.