SIBU: Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud adalah ikon pembangunan Sarawak.
Timbalan Ketua Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Machan, Henry Jugah berkata, Tun Taib merupakan tokoh kepimpinan yang sukar dicari ganti, kepimpinannya harus dijadikan sebagai pencetus semangat rakyat Sarawak untuk terus bergerak maju.
“Terlebih dahulu saya bagi pihak kami sekeluarga mengucapkan Selamat Hari Jadi Ke-84 kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, semoga sihat dan diberkati,” jelasnya.
Katanya, kepimpinan Tun Taib ketika menjadi Ketua Menteri diakui antara corak pemerintahan yang terbaik kerana mampu menjadikan Sarawak antara negeri yang pesat membangun di negara ini.
“Sepanjang pemerintahannya, Tun Taib berjaya mengubah landskap ekonomi dan pembangunan negeri ini dalam bidang perindustrian, pelaburan dan perniagaan, yang mana ia berjaya mentransformasikan Sarawak sepertimana yang dilihat hari ini,” ujarnya.
Katanya, segala jasa Tun Taib dalam menjadikan Sarawak sebagai sebuah negeri yang pesat membangun dalam pelbagai bidang termasuk sosial, ekonomi dan modal insan adalah tidak ternilai.
“Saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Tun Taib di atas jasanya itu. Kepimpinan Tun Taib wajar dijadikan sebagai panduan generasi muda sebagai pembakar semangat untuk maju dalam pelbagai bidang,” ujarnya.
Selain itu, katanya, Tun Taib merupakan seorang pemimpin tertinggi Sarawak yang berjiwa rakyat.
“Tun Taib sentiasa mendampingi masyarakat Sarawak. Dengan adanya kedua-dua aspek ini yang terdapat pada Tun Taib telah membawa Sarawak sebagai negeri yang lebih maju,” ujarnya lagi.
Oleh Akun Giman