ALOR SETAR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau bukan lagi Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) dan menyifatkan gabungan politik itu sudah tidak berfungsi.
Beliau berkata, GTA tidak bergerak seperti dihasratkan dan sehingga kini pendaftarannya tidak mendapat kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
“Yang itu (jawatan pengerusi GTA) lama punya. Takda apa dah. Pasal GTA tak jadi, tak dapat tolong kita. Pasal dia parti, kita dapati sebagai parti tak boleh menang. Kita dah lawan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), GTA dan Pejuang (Parti Pejuang Tanah Air) kalah 125 kerusi.
“Jadi nampak sebagai parti kita tak boleh menang, kalau kita nak menang dan nak perjuang nasib orang Melayu kita kena dapat sokongan orang Melayu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Jamuan Aidilfitri anjuran Pertubuhan Prihatin Kubang Pasu di sini, malam tadi.
Beliau diminta menjelaskan kedudukannya sebagai Pengerusi GTA yang sebelum ini merupakan pakatan empat parti politik iaitu Pejuang, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) serta gabungan badan bukan kerajaan yang membentuk Gagasan Bangsa (GB).
Pada 14 Januari lepas, Pejuang mengumumkan menarik diri daripada GTA menyebabkan Dr Mahathir bertindak keluar parti yang diasaskannya itu bersama 12 lagi individu pada 10 Februari lalu dan beliau kemudiannya dilaporkan menyertai Putra.
Sementara itu, Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Datuk Seri Mukhriz Mahathir memaklumkan parti berkenaan belum membuat keputusan sama ada bertanding atau sebaliknya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan datang.
Bercakap kepada pemberita pada majlis sama, beliau berkata perkara berkenaan masih dibincangkan bersama pimpinan Pejuang dan parti itu akan mengumumkan mengenai penyertaannya pada PRN selepas keputusan dicapai.
Ditanya sama ada Pejuang akan mengadakan perbincangan dengan mana-mana pihak untuk bekerjasama dalam menghadapi PRN nanti, Mukhriz berkata pihaknya masih terbuka untuk melakukan perkara itu. – Bernama