Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Tun Abdullah pemimpin berjiwa besar, utamakan negara – Tun Dr Mahathir
  • SEMASA

Tun Abdullah pemimpin berjiwa besar, utamakan negara – Tun Dr Mahathir

Utusan Sarawak 3 weeks ago
BEKAS Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi di ruang solat utama Masjid Negara hari ini. Jenazah bekas perdana menteri yang lebih dikenali dengan panggilan Pak Lah akan dikebumikan dengan Istiadat Pengebumian Negara di Makam Pahlawan, Masjid Negara selepas solat zuhur. Turut kelihatan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan (kiri) dan bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mukhriz Mahathir. FotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai seorang pemimpin berjiwa besar yang sentiasa mengutamakan kepentingan negara.

Mengimbas detik awal perkenalan mereka, Tun Dr Mahathir, berkata beliau mengenali Tun Abdullah, yang lebih dikenali sebagai ‘Pak Lah’, sejak sebelum menyandang jawatan Perdana Menteri iaitu sekitar 1968.

“Saya masih ingat pertemuan pertama saya dengan beliau adalah di sebuah pasar raya pada 1968, jadi saya telah lama mengenali Tun Abdullah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham di Masjid Negara, hari ini.

Tun Dr Mahathir, berkata selepas beliau melepaskan jawatan Perdana Menteri pada 2003, Tun Abdullah yang ketika itu menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri, mengambil alih tampuk kepimpinan negara dan mencatat kejayaan luar biasa pada Pilihan Raya Umum ke-11 pada 2004.

“Apabila beliau menjadi Perdana Menteri, beliau mengetuai pilihan raya pada 2004 dan mencatat kemenangan paling cemerlang dalam sejarah negara dengan meraih hampir 90 peratus undian untuk Barisan Nasional,” katanya.

Menurut Tun Dr Mahathir, sepanjang mentadbir negara, Allahyarham Pak Lah berdepan pelbagai cabaran dan tekanan sehingga menyebabkan prestasinya menurun pada Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008.

“Namun, beliau tidak teragak-agak untuk melepaskan jawatan apabila prestasi tidak begitu baik. Beliau tidak menimbulkan masalah, sebaliknya berundur dan menyerahkan kepimpinan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak (ketika itu).

“Inilah amalan kita di Malaysia. Apabila bersara, kita berundur dengan mudah dan memberi laluan kepada pengganti. Jika amalan ini diteruskan, Insya-Allah Malaysia akan terus menjadi sebuah negara yang aman. Inilah contoh yang telah ditunjukkan oleh Tun Abdullah,” katanya.

Beliau turut menyifatkan Allahyarham sebagai lambang kepimpinan berhemah dan matang yang wajar dicontohi demi kelangsungan kestabilan dan keharmonian negara.

“Saya mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham dan percaya mereka akan tabah menghadapi ujian ini. Ini adalah lumrah kehidupan; setiap yang hidup pasti akan kembali kepada-Nya,” katanya.

Allahyarham Tun Abdullah, 85, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 7.10 malam, semalam dan akan dikebumikan mengikut Istiadat Pengebumian Negara di Makam Pahlawan, Masjid Negara, hari ini. – Bernama

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Sultan Nazrin zahir dukacita pemergian Tun Abdullah, bendera Perak dikibar separa tiang
Next: Roland berduka atas pemergian Tun Abdullah, sampaikan ucapan takziah selepas Majlis Inovasi STEM

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.