Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Tun Abdul Razak dalam sejarah Sarawak
  • KOLUMNIS

Tun Abdul Razak dalam sejarah Sarawak

Utusan Sarawak 3 weeks ago

CATATAN dan tulisan saya mengenai Tun Abdul Razak Hussein pernah ditulis dalam wacana ini pada 2024. Tulisan awal dalam wacana ini hanya menyentuh tentang bagaimana hubungan Tun Abdul Razak selaku Timbalan Perdana Menteri mengukuhkan hubungan antara Semenanjung Malaysia dengan Sarawak.

Wacana kali ini cuba menyelusuri peranan Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri dalam memperkukuhkan hubungan antara Kerajaan Pusat dan negeri Sarawak. 

Beliau dilantik sebagai Perdana Menteri kedua pada 22 September 1970. Sebagai seorang yang berpengalaman dalam bidang politik dan pentadbiran, Tun Abdul Razak menunjukkan gaya kepimpinan yang berwibawa dan berhemah serta berorientasikan pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.

TUN Abdul Razak.

Pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri dialu-alukan oleh Temenggung Jugah. Temenggung Jugah meminta rakyat Sarawak untuk memberi sokongan kepada Tun Abdul Razak seperti mereka memberi sokongan kepada kepimpinan Tunku Abdul Rahman.

Beliau juga mempunyai tugas besar membangunkan Sarawak yang ketika itu mengalami masalah keganasan komunis yang mengancam kesejahteraan penduduk Sarawak. 

Beliau selaku Perdana Menteri menjalankan usaha sebaik mungkin untuk membantu Sarawak mencapai kemajuan dan keamananan.

Perpaduan

Pemulaan beliau menjadi Perdana Menteri, Tun Abdul Razak memikul satu tanggungjawab besar dalam menyusun semula masyarakat di negara ini.

TENTERA bersama penduduk di kawasan hutan Sarawak — gambar menunjukkan situasi kawalan keselamatan di kawasan luar bandar Sarawak semasa ancaman komunis. Foto fail

Ini kerana Peristiwa 13 Mei (1969) mencetus pergaduhan kaum yang membawa ketidakharmonian antara kaum. Antara usaha dilakukan untuk memulihkan hubungan kaum ini adalah dengan memperkenalkan Rukun Negara.

Selepas itu Tun Abdul Razak memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk membantu penduduk negara ini menikmati kemakmuran bersama. 

Walaupun Sarawak ketika itu tidak mengalami masalah dalam hubungan kaum yang ketara tetapi masalah utama timbul adalah ketidakstabilan politik dan meningkatnya kegiatan keganasan komunis.

Masalah ketidakstabilan politik berlaku apabila keputusan pilihan raya negeri langsung pertama Sarawak pada 1970 tidak dapat memutuskan parti manakah yang dapat membentuk kerajaan.

KETIKA era keganasan komunis di Sarawak.

Ini kerana tiada parti politik yang memenangi majoriti dalam pilihan raya tersebut.

Atas usaha Tun Abdul Razak dan pemimpin politik lain membawa kepada pembentukan kerajaan campuran di Sarawak apabila Parti Bumiputera membentuk kerajaan bersama dengan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP).

Seterusnya Parti Pesaka menyertai kerajaan tersebut. Bagi mengukuhkan lagi perpaduan di peringakat nasional, Pengerusi SUPP, Ong Kee Hui dilantik sebagai salah seorang menteri dalam Kabinet Tun Abdul Razak.

Ini seterusnya penubuhan Barisan Nasional (BN) pula mengabungkan parti-parti pro-kerajaan termasuk Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan SUPP.

Keselamatan

Dalam soal keselamatan pula, Tun Abdul Razak mahu agar keamanan negara dijaga dan dipelihara. Ketika itu kegiatan komunis yang belum lagi reda, menjadi ancaman bukan sahaja kepada keamanan tetapi juga pembangunan negara.

OPERASI ketenteraan membanteras komunis di Sarawak pada 1970-an.

Sebaik sahaja beliau dilantik sebagai Perdana Menteri, Tun Abdul Razak telah meninjau dan melawat Sarawak pada Disember 1970. 

Beliau melihat keadaan kegiatan komunis di Sarawak agak membimbangkan kerana berlakunya serangan komunis yang kerap sebelum itu.

Dilaporkan sebanyak kira-kira 20 serangan komunis telah berlaku. Dalam serangan tersebut seramai 26 orang telah terkorban.

Oleh itu beliau mengerakkan usaha untuk mengekang keganasan komunis dengan pelbagai cara. Pada peringkat awal beliau mengenal pasti masalah yang timbul akibat berleluasannya kegiatan serangan komunis ini kerana ketiadaan kerjasama antara pasukan keselamatan dan orang ramai. 

Sehubungan dengan itu dalam usaha membenteras komunis ini beliau meletakkan pentingnya kerjasama antara kerajaan dengan rakyat.

Dalam lawatan Tun Abdul Razak ke Sarawak pada 1972 menyatakan bahawa perang menentang komunis satu perang “hidup dan mati”.

Oleh itu beliau mengingatkan agar penduduk Sarawak bersama-sama menentang komunis, dan penduduk Sarawak tidak boleh berkecuali dalam hal ini.

Seterusnya, perkara yang tidak kurang penting ialah usaha menghalang pengaruh komunis di sekolah. Hal ini penting dilakukan kerana pengaruh tersebut membuka ruang kepada mereka untuk merekrut pelajar-pelajar sekolah.

Bagi memperlengkapkan usaha kerajaan membantu rakyat Sarawak daripada ancaman komunis, Tun Abdul Razak menyarankan agar senjata dibekalkan kepada penduduk luar bandar terutamanya kepada penghuni di rumah panjang.

Mereka ini juga akan dilatih oleh pihak berkuasa untuk menentang komunis. Tun Abdul Razak juga menyarankan penduduk luar bandar dipindahkan ke kawasan baharu.

Selain itu, satu lagi langkah yang diambil oleh beliau ialah memberikan pengampunan (amnesti) kepada anggota komunis, termasuk di Sarawak.

Seruan amnesti ini memberi kesan positif apabila kira-kira 500 anggota komunis di Sarawak meletakkan senjata bagi menyahut seruan kerajaan untuk kembali menjalani kehidupan biasa.

Kedaulatan

Tun Abdul Razak juga mengambil langkah mempertahankan kedaulatan negara berhubung tuntutan Brunei ke atas Limbang. Apabila beliau dilantik sebagai Perdana Menteri, Tun Abdul Razak memberi reaksi balas kepada tuntutan Brunei ke atas Limbang. 

Menurut beliau, penyertaan Sarawak termasuk Limbang dalam pembentukan Malaysia adalah berdasarkan kehendak British dan persetujuan rakyatnya.

Hal ini dinyatakan semula oleh beliau apabila menjawab soalan dalam Parlimen. Jawapan Tun Abdul Razak amat tegas untuk tidak melayan tuntutan tersebut. 

Menurut beliau, tidak perlu diadakan sebarang rundingan berhubung tuntutan tersebut kerana beliau berpendapat bahawa tuntutan itu tidak mempunyai asas.

Perubahan

Tun Abdul Razak juga memperkukuh hubungan antara wilayah-wilayah di Malaysia, termasuk melalui penggunaan terma rujukan tertentu.

Usaha ini, menurut beliau, penting bagi mengelakkan sikap kedaerahan yang boleh mengancam keharmonian dan kedaulatan negara.

Oleh itu, beliau menyatakan bahawa penggunaan terma rujukan Malaysia Barat dan Malaysia Timur perlu ditukar bagi mengelakkan sikap kedaerahan tersebut.

Beliau menyarankan penukaran Malaysia Barat kepada Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur kepada Sabah dan Sarawak.

Pemerintahan Tun Abdul Razak tidak lama apabila pada awal 1976 beliau meninggal dunia. Pemergian beliau ini merupakan kehilangan besar bagi negara. 

Bagi mengenang jasa beliau kepada negara dan negeri Sarawak, nama beliau diabadikan di dua institusi pendidikan di Sarawak iaitu SMK Tun Abdul Razak di Siburan dan Institut Perguruan Guru Kampus Tun Abdul Razak di Kota Samarahan.

  • Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hubungan Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). 
Tags: Dr Suffian Mansor

Continue Reading

Previous: Henti persoalkan MA63, hormati titah Agong
Next: Mendukung titah Agong dan tatakelola

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.