
MARUDI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datuk Dr Penguang Manggil, bersama Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Pemantauan Buruh, Imigresen dan Projek), Datuk Gerawat Gala, hari ini melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Suarah Marudi.
Dalam lawatan tersebut, Penguang menerima taklimat daripada Pegawai Pertahanan Awam Daerah Marudi, Leftenan (PA) Mirwan Shah Masri, berhubung situasi semasa banjir serta jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan berkenaan.
Setakat ini, seramai 13 individu daripada tiga keluarga yang berasal dari Kampung Padang Kerbau (tepi sungai), Kampung Cina dan Kampung Dagang telah dipindahkan ke PPS.
Menurut Penguang, keadaan banjir masih terkawal dan beliau berharap situasi itu akan bertambah baik dalam tempoh dua atau tiga hari lagi.
“Kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Daerah telah menggerakkan jentera untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa, termasuk bakul makanan dan keperluan lain,” katanya.

Mengulas mengenai penganjuran Regata Baram 2025, Penguang memaklumkan bahawa setelah perbincangan bersama jabatan-jabatan berkaitan serta Pejabat Premier Sarawak, pihaknya telah mengambil keputusan untuk menangguhkan acara itu ke tahun hadapan.
“Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira aspek keselamatan para peserta dan pengunjung. Selain itu, ia juga bagi membolehkan semua agensi kerajaan, khususnya Jawatankuasa Bencana Peringkat Daerah, menumpukan usaha membantu mangsa banjir,” ujarnya.

Menurut beliau, keutamaan ketika ini adalah kebajikan penduduk terjejas, sama ada di kawasan Ulu Baram mahupun Marudi.
Bagi pihak Jawatankuasa Penganjur, Penguang turut memohon maaf kepada semua pihak, khususnya peserta dari luar Marudi.
“Keputusan ini bukan mudah untuk dibuat, namun ia adalah demi kebaikan semua,” tambah beliau.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Residen Bahagian Miri, Galong Luang, Pegawai Daerah Marudi Rose Edward Tarang, serta ketua-ketua agensi kerajaan tempatan.
Oleh Jiku Juguong