Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KESIHATAN
  • Tumbung ganggu kualiti hidup wanita, cegah dengan senaman kegel
  • KESIHATAN

Tumbung ganggu kualiti hidup wanita, cegah dengan senaman kegel

Utusan Sarawak 2 days ago

KUALA LUMPUR:  Aina (bukan nama sebenar) seorang wanita aktif dan menjalani kehidupan hariannya seperti biasa tanpa sebarang masalah, namun situasi itu berubah selepas dia melahirkan anak pertama pada usia 35 tahun.

Dia mula mengalami ketidakselesaan di bahagian alat sulitnya – seakan-akan ada sesuatu yang “akan jatuh” atau “terkeluar” setiap kali dia duduk.   

Menyangkakan itu perkara biasa selepas kelahiran secara normal, Aina tidak ambil peduli, namun keadaan tersebut berterusan selama beberapa bulan membuatkan dia berjumpa doktor yang memaklumkan dia sebenarnya mengalami prolaps organ panggul atau peranakan jatuh.

 Berkongsi lanjut mengenai masalah kesihatan itu, pensyarah di Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan  Malaysia Prof Madya Dr Ixora Kamisan Atan berkata prolaps organ panggul atau tumbung, cenderung berlaku pada wanita yang pernah hamil dan melahirkan secara normal terutamanya pada usia lewat, disebabkan oleh kelemahan dan kecederaan otot dasar pelvis serta ligamen penyokong organ-organ pelvis.

Selain itu katanya, kerap bersalin, menopaus dan sebarang keadaan yang meningkatkan tekanan terhadap dasar pelvis termasuk batuk atau sembelit yang berpanjangan serta masalah obesiti juga boleh mengakibatkan keadaan tersebut.

Dr Ixora yang juga Pakar Perunding Obstetrik, Ginekologi dan Uroginekologi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, berkata meskipun penyakit itu tidak membawa maut, keadaan tersebut berisiko menjejaskan kualiti kehidupan wanita yang mengalaminya.

Jelasnya, prolaps organ panggul dikategorikan kepada empat peringkat dan boleh melibatkan organ seperti rahim, pundi kencing, usus atau kesemuanya sekali jatuh dari kedudukan asal di pelvis.

“Simptom prolaps ini, selain pesakit rasa ada benda jatuh dari faraj, ia boleh juga menyebabkan rasa sakit belakang, di bahagian bawah, lenguh seakan ada benda yang menarik di bahagian ari-ari, perut dan faraj.

“Kalau peranakan jatuh itu melibatkan pundi kencing, boleh menyebabkan susah nak kencing, terpaksa meneran semasa ingin membuang air kecil, aliran kencing yang tersekat-sekat dan rasa kurang lawas. Kalau melibatkan usus, akan susah nak buang air besar,” katanya kepada Bernama.

Menurut beliau, secara amnya 30 hingga 50 peratus wanita seluruh dunia mengalami masalah itu manakala di rantau ini sekitar  20 peratus.

“Kita boleh rawat dengan senaman otot pelvis (senaman Kegel) bagi prolaps yang tidak teruk (peringkat satu). Bagi prolaps yang lebih teruk, kita sarankan selain daripada senaman  otot pelvis, kita boleh masukkan alat sokongan ‘vaginal pessary’ atau pembedahan.

“Tempoh rawatan bergantung…jika pesakit pilih guna alat ‘pessary, rawatan susulan setiap tiga ke empat bulan sekali, manakala jika melalui pembedahan, rawatan susulan setiap enam hingga 12 bulan. Prolaps boleh berulang, iaitu sekitar 30 peratus, walaupun telah menjalani pembedahan. Namun ini tidak bermakna dia perlu dibedah sekali lagi,” katanya.

Dr Ixora berkata perubahan gaya hidup boleh membantu mencegah situasi itu, antaranya amalan senaman otot pelvis secara rutin, pemakanan sihat bagi mendapatkan berat badan ideal  selain mengelakkan pengambilan alkohol dan merokok kerana boleh menyebabkan penyakit melibatkan paru-paru, hati dan asites yang turut menyumbang kepada peningkatan beban pada otot pelvis.

“Wanita juga disarankan mengelak daripada mengangkat barang berat agar dapat kurangkan beban pada otot pelvis. Sekiranya terpaksa angkat barang berat, ada cara tertentu untuk kita elakkan beban pada otot pelvis tersebut,” katanya,  menambah penggunaan bengkung ketika berpantang sedikit-sebanyak membantu kuatkan otot pelvis.

Sementara itu, pemilik Puteri Beauty Spa & Traditional Treatment, Airiza Saidin berkata terdapat rawatan tradisional sebagai alternatif untuk mengatasi masalah  tumbung seperti menaikkan semula peranakan dengan urutan sengkak di bahagian ari-ari serta urutan buang angin.

“Kami juga akan sarankan pelanggan membuat senaman Kegel supaya bahagian peranakan kekal kemas walaupun selepas membuat urutan,” katanya.

— Bernama 

Continue Reading

Previous: Lebih 5,000 sukarelawan kesihatan bantu perkhidmatan kesihatan musim haji
Next: Dua Gereja Methodist anjur kempen derma darah Ahad ini

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.