KUCHING: Filem baharu arahan Mohd Ghazali Jeman yang lebih dikenali Jalot Jeman iaitu Tumbukan Emas akan mengangkat kisah legenda tinju Sarawak, Mejar Sapok Biki yang akan memulakan penggambaran pada Mei ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, filem ini nanti bukan sahaja dapat mengangkat kisah perjalanan Mejar Sapok, malah dapat membuka lembaran baharu dalam mengangkat semula sukan tinju di Sarawak mahupun Malaysia.
“Filem Tumbukan Emas yang menyorot pencapaian dan juga jalan hidup legenda tinju kita iaitu Mejar Sapok yang pernah mengharumkan nama Sarawak dan Malaysia di persada sukan dunia.
“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada saudara Jalot yang begitu gigih mengangkat martabat filem tempatan Sarawak ke peringkat yang lebih tinggi,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian dalam sesi sidang media filem Tumbukan Emas di sini hari ini.
Hal ini menurut beliau secara tidak langsung akan melahirkan lebih banyak pelakon-pelakon kelahiran Sarawak yang lebih profesional.
Dato Sri Abdul Karim yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak turut mengalu-alukan lebih banyak penggiat seni perfileman ini untuk tampil dan mengangkat kisah-kisah dan legenda di Sarawak untuk menjadi tatapan umum.
“Kita menggalak kepada mereka yang terlibat dalam industri ini untuk sentiasa mengeluarkan samaada dokumentari mahupun filem berkaitan Sarawak untuk dipamerkan kepada seluruh rakyat Malaysia berkenaan dengan sejarah, legenda mahupun peristiwa berkisarkan nilai patriotisme yang boleh diterjemahkan dalam bentuk filem,” jelas beliau lagi.
Filem ini nanti akan menyaksikan Daeloniel McDelon Bong atau lebih dikenali ramai dengan julukan ‘Kilat Boy’ akan membintangi filem berkenaan, yang mana beliau akan memegang watak Majer Sapok itu sendiri.
Nama-nama besar yang lain seperti Nam Ron dan Azhan Rani pula akan memegang watak sebagai jurulatih, di samping penampilan pelakon-pelakon tempatan Sarawak yang lain.
Jalot dalam pada itu memberitahu, Kamek Empun Production (KEP) akan membawa suasana moden dalam filem ini dan memanfaatkan keindahan lokasi di Sarawak sebagai salah satu usaha mempromosikan wilayah ini sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.
Difahamkan, filem ini akan mulai ditayangkan pada 22 Julai 2025 sempena dengan sambutan Hari Sarawak.
Filem Tumbukan Emas ini mengisahkan perjalanan hidup luar biasa Sapok Biki, seorang wira dengan semangat juang yang membara, sehingga berjaya mencipta sejarah sebagai anak Malaysia pertama memenangi pingat emas dalam sukan tinju di temasya Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998. – UKAS