
MIRI: Satu video yang memaparkan kepulan asap tebal dan api di kawasan laut berhampiran Miri tular di media sosial hari ini, mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan orang ramai mengenai kejadian yang didakwa sebagai letupan di perairan berkenaan.
Rakaman video berdurasi singkat yang dikongsi di media sosial menunjukkan kepulan asap hitam menjulang tinggi dari permukaan laut, manakala api kelihatan marak sebelum beransur reda.
Setakat ini, punca sebenar kejadian masih belum dapat dipastikan dan tiada pengesahan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa berhubung lokasi tepat, punca insiden atau sama ada ia melibatkan pelantar minyak, kapal ataupun kemudahan lain di luar pesisir.
Perkongsian video tersebut bagaimanapun telah mengundang pelbagai reaksi daripada netizen yang melahirkan kebimbangan serta berharap tiada mangsa terlibat.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan sehingga kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa atau agensi berkaitan.
Media akan mendapatkan pengesahan lanjut daripada pihak berkuasa berkaitan dan mengemas kini perkembangan sebaik maklumat rasmi diperoleh.
Oleh Liong Chai Ling