
BELAWAI: Projek tukun tiruan yang dibina di sepanjang pantai Sarawak kini menunjukkan kesan positif terhadap populasi ikan, sekali gus menyokong sosioekonomi penduduk tempatan di kawasan Pantai Belawai.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abd Wahab berkata, projek tukun tiruan yang dibina oleh kerajaan negeri itu telah terbukti meningkatkan jumlah dan saiz ikan di kawasan berkenaan.
“Tukun-tukun ini telah berjaya menambah populasi ikan di kawasan kita. Terbukti dengan mata kepala kita sendiri; kalau dahulu ikan tidak banyak, kini ikan menjadi lebih banyak.
“Ini sedikit sebanyak menunjukkan keberkesanan usaha kerajaan, seperti yang dapat dilihat melalui hasil tangkapan pada hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Penangguhan Pusingan Akhir Grand Prix 3/2025 Pertandingan Memancing Pantai Iftitah Belawai di Iftitah Beach Resort Belawai, hari ini.
Dalam majlis tersebut, beliau turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Pusingan Akhir Grand Prix 3/2025 menyaksikan Ali Girinang muncul juara dengan tangkapan ikan pari seberat 10.34 kilogram, membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000.
Ali juga dinobatkan sebagai pemenang keseluruhan bagi ketiga-tiga siri Kejohanan Utama Memancing Iftitah tahun ini dengan berat terkumpul 18.86 kilogram, sekali gus membawa pulang hadiah utama sebuah motosikal.
Tempat kedua dimenangi oleh Venesyak Kelabu dengan ikan pari seberat 7.1 kilogram yang membawa pulang RM4,000, manakala Mohd Farid Abu Bakar di tempat ketiga dengan ikan pari seberat 3.8 kilogram serta hadiah RM2,000.
Pertandingan yang disertai seramai 350 kaki pancing dari Zon Tengah ini bukan sahaja menjadi platform hobi dan sukan, malah turut mempromosikan pelancongan serta merancakkan ekonomi setempat. -UKAS