
SIBU: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhi hukuman penjara 10 tahun berserta 10 sebatan terhadap seorang tukang cat, setelah didapati bersalah memiliki 34.51 gram syabu dua tahun lalu.
Hakim Musyiri Peet yang menjatuhkan hukuman itu turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman bermula dari tarikh tangkapan, iaitu 20 Ogos 2025.
Dalam penghakimannya, Musyiri berkata pembelaan gagal menyangkal anggapan di bawah Seksyen 37(d) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, sekali gus membuktikan pihak pendakwaan berjaya menegakkan kes tanpa keraguan munasabah.
“Tertuduh dengan ini didapati bersalah dan disabitkan dengan pertuduhan tersebut,” katanya ketika membacakan keputusan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki 34.51 gram Methamphetamine pada 4 April 2023 sekitar 2.30 petang di hadapan sebuah rumah di Jalan Medang. Kesalahan itu dilakukan di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 dan dihukum mengikut Subseksyen 39A(2)(R) akta sama.
Sabit kesalahan di bawah seksyen tersebut boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun serta sekurang-kurangnya 10 sebatan.
Dalam rayuan, peguam Roger Lau yang mewakili tertuduh berkata tertuduh perlu menyara ibunya berusia 71 tahun yang bergantung sepenuhnya kepadanya bagi keperluan harian dan perbelanjaan asas.
“Hukuman penjara yang panjang akan menyebabkan ibu bapa yang sudah tua tidak mempunyai sokongan sosial atau kewangan yang bermakna,” katanya melalui wakilnya, Michelle Ling.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mark Kenneth Netto menegaskan tiada kredit penyesalan boleh diberikan kerana tertuduh tidak mengaku bersalah pada peringkat awal dan memilih perbicaraan penuh.
Beliau berkata, seramai lima saksi dipanggil sepanjang perbicaraan (empat saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan), yang bukan sahaja menanggung kos besar kepada orang awam tetapi juga mengambil masa mahkamah.
Selain itu, katanya, tertuduh mempunyai rekod kesalahan lampau sebagaimana direkodkan dalam sistem CMS Mahkamah.
Oleh Akun Giman