
KUCHING: Tujuh wanita warga asing ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pelacuran menerusi serbuan Ops Noda di sebuah pusat urut di Jalan Tun Jugah, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Anak Chabu berkata, serbuan sekitar 2.15 petang itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Cawangan D7, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.
Menurutnya, hasil serbuan polis menahan tujuh wanita warga asing berusia antara 23 hingga 38 tahun bagi membantu siasatan.

“Polis turut merampas beberapa barangan bagi membantu siasatan termasuk wang tunai, kondom dan pakaian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati premis pusat urut berkenaan dipercayai menjalankan aktiviti pelacuran dengan menawarkan khidmat seks oleh wanita warga asing pada kadar bayaran RM200 bagi setiap perkhidmatan.
“Beberapa suspek turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di Malaysia,” katanya.
Tambahnya, jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali serta boleh dikenakan sebatan.
Alexson menegaskan bahawa polis akan terus mempergiat operasi bagi membanteras aktiviti tidak bermoral dan menyalahi undang-undang demi memastikan ketenteraman serta keselamatan awam terus terpelihara.
Kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Oleh Afiq Sallehi