
SARIKEI: Sebanyak tujuh projek Transformasi Luar Bandar (RTP) yang telah siap diserahkan secara rasmi kepada komuniti setempat di sini, semalam.
Jurucakap Pusat Khidmat Repok berkata, penyerahan tapak RTP tersebut turut dihadiri oleh Kapitan Ling Dien Yong selaku wakil Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii.
“Projek RTP siap yang diserahkan adalah menembok tanah rumah panjang baharu untuk Rumah Ugil; tembok tanah, simen lantai, simen jalan dan pembetung untuk Rumah Banun; dinding gabion Rumah William Girang; bina baharu parit dan lantai simen belakang Rumah Ingkas; pemasangan lampu dan pendawaian elektrik Rumah Langgie; projek melakar, melukis, mewarna patung serta pemegang pagar keluli tahan karat di Tokong Fu Gui Ting; dan membekal serta memasang batu-bata di Persatuan Sosial dan Rekreasi Zhong De.
“Usaha Datoʼ Sri Huang Tiong Sii ini adalah selaras dengan matlamat kerajaan Sarawak untuk memastikan rakyat luar bandar menikmati kemudahan asas yang selesa dan selamat,” katanya ketika dihubungi.
Tambahnya, projek RTP ini bukan sahaja membaiki infrastruktur asas, tetapi juga meningkatkan kualiti hidup rakyat di kawasan luar bandar.
“Kerajaan komited untuk terus melaksanakan lebih banyak projek seumpama ini demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Turut hadir Penolong Jurutera Majlis Daerah Sarikei (MDS), Joviana Joklin; Kaunselor Anthony Suding serta wakil-wakil kontraktor yang terlibat dalam pelaksanaan projek
Oleh Earl Anek