

FOTO tangkap layar menunjukkan pemancing diselamatkan oleh kapal MTT Rajang.
KUCHING: Tujuh pemancing terselamat selepas bot yang mereka naiki karam di perairan utara Tanjung Po, petang semalam.
Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairi Abd Aziz berkata, kejadian itu dimaklumkan kepada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuching pada 4.45 petang oleh Lembaga Pelabuhan Kuching susulan penerimaan isyarat kecemasan awal melalui radio daripada kapal dagang MTT Lumut pada 4.23 petang.
“Kesemua mangsa berjaya diselamatkan oleh kapal MTT Rajang yang kebetulan berada berhampiran lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan maklumat diterima, Maritim Malaysia Negeri Sarawak menggerakkan Bot KILAT 35 ke lokasi pertemuan dengan kapal MTT Rajang bagi membawa mangsa ke daratan.
Kesemua mangsa tiba dengan selamat di Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) pada 7.08 malam.
Mohd Khairi mengingatkan komuniti maritim agar sentiasa mengutamakan keselamatan apabila turun ke laut termasuk memakai jaket keselamatan, melakukan pemeriksaan bot sebelum berlayar dan memantau keadaan cuaca.
“Keselamatan di laut tidak boleh diambil ringan. Langkah asas ini perlu diberi perhatian serius,” tujarnya.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya segera melaporkan sebarang kecemasan atau aktiviti mencurigakan di laut kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432006 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera. – TVS