Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Tujuh pelari elit Sarawak bawa misi pecah rekod maraton di Taipei
  • SUKAN

Tujuh pelari elit Sarawak bawa misi pecah rekod maraton di Taipei

Utusan Sarawak 4 hours ago
RAKAM KENANGAN… Alpha Lim, Dr Owen Tan, Abraham Tiong, Andy Yeo, Sunny Jong dan Jeremy Yeo begambar rakam kenangan selepas sidang media hari ini. Foto Adele Rissa 

KUCHING: Tujuh pelari elit Sarawak bakal membawa cabaran besar ke pentas antarabangsa apabila menyertai Maraton Taipei 2025 dengan satu misi utama, memecahkan rekod maraton Sarawak yang telah bertahan hampir sedekad.

Lebih daripada sekadar memburu masa, penyertaan mereka mencerminkan disiplin tinggi, ketahanan mental dan komitmen luar biasa terhadap sukan larian jarak jauh, meskipun masing-masing bergelar pelari amatur yang berlatih pada tahap elit.

Antara tonggak utama pasukan ialah Dr Owen Tan, yang telah berkecimpung dalam dunia larian selama hampir 10 tahun. 

“Larian yang bermula sebagai kaedah mengurangkan tekanan akhirnya berkembang menjadi satu komitmen serius yang membentuk kekuatan mental dan fizikal.

“Maraton bukan sekadar berlari jarak jauh. Ia menuntut disiplin, latihan konsisten, pengurusan pemakanan, rehat mencukupi serta keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi,” katanya pada sidang media pengumuman penajaan HSL untuk Maraton Taipei 2025, di sini hari ini.  

Menurut Dr Owen, latihan maraton banyak bergantung kepada ketahanan mental dan beliau juga menekankan kepentingan mendengar keupayaan tubuh, mengawal penghidratan dan pemakanan bagi menampung beban latihan. 

Ketika ini, beliau berlari sekitar 110 hingga 120 kilometer seminggu, bersamaan hampir 500 kilometer sebulan, sebelum meningkatkan intensiti latihan secara berperingkat menjelang hari perlumbaan.

Dalam pada itu, ketua pasukan, Andy Yeo, pula menyifatkan kepulangannya ke Taipei sebagai peluang bermakna untuk mencabar rekod maraton Sarawak sedia ada selepas mencatatkan rekod peribadi di kejohanan sama tahun lalu.

Rekod tersebut kini dipegang oleh jurulatih Sukma Miri, Mohd Jironi, yang mencatat masa 2 jam 39 minit 57 saat pada Maraton Kuala Lumpur 2016. 

“Saya kembali bersama pasukan dengan hasrat mencabar rekod Sarawak. Ia bukan sekadar sasaran, tetapi sumber inspirasi yang memberi saya tenaga untuk terus berusaha,” katanya.

Menurut Yeo, perkongsian pengalaman dan pencapaian Mohd Jironi sebelum ini menjadi dorongan kepada generasi pelari baharu untuk berani mencabar had keupayaan diri.

Satu-satunya pelari wanita elit di dalam kumpulan itu, Alpha Lim, menyifatkan penyertaan ke Taipei merupakan detik istimewa selepas tujuh tahun menceburi dunia larian sejak 2018. 

Beliau berharap suasana perlumbaan dan keadaan cuaca yang lebih sejuk dapat membantu seluruh pasukan mencapai prestasi terbaik.

“Saya berharap bukan sahaja dapat mencatatkan rekod peribadi baharu, tetapi melihat setiap ahli pasukan mencapai potensi terbaik masing-masing,” katanya.

Misi tujuh pelari ini turut mendapat sokongan penaja utama, HSL, yang melihat komitmen mereka sebagai simbol ketekunan dan semangat tidak mudah berputus asa. 

Ketua Pemasaran dan Komunikasi Hock Seng Lee (HSL), Abraham Tiong, berkata sokongan diberikan bagi membantu pelari tempatan yang berlatih pada tahap tinggi sambil memegang pekerjaan sepenuh masa.

Beliau berkata, kejayaan dan semangat pasukan ini diharap dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai masyarakat Sarawak untuk menjadikan larian sebagai sebahagian daripada gaya hidup sihat.

Maraton Taipei 2025 dijangka menjadi medan penting buat tujuh pelari Sarawak ini untuk menguji kemampuan diri, mengharumkan nama negeri dan membuktikan bahawa dengan disiplin dan tekad, pelari tempatan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Oleh Adele Rissa

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Salah kembali dalam skuad Liverpool lawan Brighton
Next: Jesus kembali cergas, mampu jadi penyerang nombor satu Arsenal – Arteta

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.