
KUCHING: Sarawak terus memperkukuh tadbir urus bandar mesra kanak-kanak apabila tujuh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dicalonkan dalam Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) sekali gus menandakan komitmen negeri dalam membina bandar lebih selamat dan inklusif untuk kanak-kanak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, berkata tujuh PBT yang dicalonkan dalam inisiatif tersebut bukan sekadar simbol, tetapi sebahagian daripada usaha membina negara melalui tadbir urus bandar yang berfokuskan kesejahteraan kanak-kanak.
“Pembangunan bukan hanya mengenai infrastruktur dan ekonomi. Ia juga melibatkan keselamatan, kesihatan, kesejahteraan dan paling penting, suara kanak-kanak dalam perancangan bandar,” katanya.
Tujuh pihak PBT yang dicalonkan ialah Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Majlis Bandaraya Miri (MBM), Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan Majlis Perbandaran Sibu (MPS) menerima pengiktirafan rasmi, manakala Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).

Beliau menekankan bahawa status calon memerlukan Pelan Tindakan Bandar yang jelas serta melibatkan penglibatan kanak-kanak, komuniti dan agensi berkaitan.
“Pelan tindakan ini bukan hanya untuk UNICEF, tetapi panduan untuk pihak majlis dan agensi lain melaksanakan tindakan yang menepati kehendak kanak-kanak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengiktirafan Bandar Calon Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak di sebuah hotel terkemuka, hari ini.
Dr Sim berkata proses pengiktirafan ini bersifat terstruktur dan bertanggungjawab.
“Jika komitmen tidak dipenuhi dalam tempoh ditetapkan, status calon boleh ditarik balik. Melalui bengkel dan perancangan, lebih RM58 juta telah diperuntukkan untuk manfaat kanak-kanak di majlis-majlis yang terlibat,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa isu yang dibangkitkan oleh kanak-kanak, termasuk keselamatan, pencahayaan jalan, ruang sekitar sekolah dan kawasan riadah, walaupun kelihatan kecil, adalah penting.
“Apabila mereka menyuarakan isu ini, ia menunjukkan majlis tempatan diiktiraf sebagai barisan hadapan dalam menjaga kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Menurut Dr Sim, hanya 11 daripada lebih 200 majlis tempatan di Malaysia dikenal pasti sebagai calon bandar mesra kanak-kanak, tujuh daripadanya dari Sarawak.

Dalam pada itu, beliau berkata pendekatan sistematik negeri bermula daripada majlis bandaraya dan perbandaran hingga ke majlis daerah, bagi memastikan tadbir urus bandar berfokuskan kanak-kanak dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Beliau turut menekankan kepentingan pendidikan dan kepimpinan kanak-kanak.
“Kami mahu melahirkan pemimpin muda yang yakin, berkemampuan dan bertanggungjawab. Kesejahteraan sahaja tidak cukup; yang penting adalah kesinambungan melalui tadbir urus dan kepimpinan yang baik,” katanya.
Dr Sim memuji kerjasama semua pihak termasuk majlis tempatan, agensi kerajaan, UNICEF dan institusi akademik.
“Pembinaan negara tidak boleh dilakukan secara bersendirian. Ia memerlukan kerjasama, kepercayaan dan tanggungjawab bersama,” katanya.
“Ini adalah peluang untuk semua, terutama kanak-kanak dan belia, menyumbang kepada masa depan Sarawak. Marilah kita terus maju dengan keyakinan, perpaduan dan kebanggaan, dengan cara kita sendiri, cara Sarawak,” katanya.
Oleh Adele Rissa