Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Tujuh mural warisan perkukuh identiti Padungan sempena 100 tahun
  • TEMPATAN

Tujuh mural warisan perkukuh identiti Padungan sempena 100 tahun

Utusan Sarawak 3 hours ago
DATUK Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng dan Leonard Siaw, ketika berucap pada Majlis Pelancaran Tujuh Mural bersempena 100 Tahun Padungan, di Lorong 6, Jalan Padungan, hari ini. Foto Shahrul Qaizat

KUCHING: Tujuh mural warisan yang dilancarkan di Jalan Padungan hari ini bukan sekadar mencantikkan dinding bandar, sebaliknya menjadi simbol penghargaan terhadap sejarah, pengorbanan dan semangat komuniti perantau yang membentuk identiti kawasan berkenaan sejak seabad lalu.

Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, pelancaran mural itu merupakan sebahagian usaha berterusan memelihara Padungan sebagai koridor warisan yang perlu dipelihara secara terancang dan berhemah.

Menurutnya, Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) telah mengambil pelbagai langkah konkrit termasuk memulihara menara jam peringatan Perang Dunia Kedua di Jalan Padungan dengan mengekalkan ketepatan sejarah dan integriti bahan asal.

MURAL… Antara mural yang dilancarkan.

“Padungan adalah antara kawasan tertua di Kuching yang berkembang hasil ketabahan komuniti perantau yang datang untuk berniaga dan membina kehidupan lebih baik. Identiti inilah yang perlu kita pelihara,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Tujuh Mural bersempena 100 Tahun Padungan, di Lorong 6, Jalan Padungan, hari ini.

Beliau berkata, aspek keselamatan dan kemudahan awam turut diberi perhatian termasuk pemasangan dua kamera litar tertutup berteknologi kecerdasan buatan serta menaik taraf kemudahan tandas awam bagi memastikan keselesaan pengunjung.

MURAL… Antara mural yang dilancarkan.

Tambahnya, MBKS turut menubuhkan Pasukan Petugas Pemuliharaan Warisan Padungan yang melibatkan pelbagai agensi teknikal dan badan profesional bagi memastikan pemuliharaan bangunan kedai berusia 100 tahun dilaksanakan mengikut piawaian keselamatan, kejuruteraan dan kaedah pemulihan yang betul.

Dalam masa sama, MBKS mencadangkan pelaksanaan Laluan Mural Warisan secara berstruktur dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) bagi menghubungkan karya seni dari Jalan India hingga ke Padungan.

“Melalui laluan ini, pengunjung bukan sekadar melihat mural, tetapi berjalan merentasi sejarah. Setiap mural adalah bab dalam naratif besar mengenai perdagangan lama, perusahaan, ketukangan dan semangat komuniti,” katanya.

Sementara itu, pelukis mural, Leonard Siaw menyifatkan peluang menghasilkan tujuh mural tersebut sebagai satu amanah besar dan pengalaman yang penuh emosi.

MURAL… Antara mural yang dilancarkan.

Katanya, beliau melihat projek itu bukan sekadar lukisan pada dinding, tetapi tanggungjawab untuk menterjemah sejarah dan pengorbanan komuniti terdahulu melalui seni.

“Setiap garis dan warna membawa makna. Saya terbayang peniaga dan pekerja perantau yang membuka kedai sebelum matahari terbit dan menutupnya lewat malam demi membina kehidupan di Padungan,” katanya.

Leonard turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan kerajaan negeri yang memberi ruang kepada industri kreatif berkembang serta mengiktiraf seni sebagai sebahagian daripada pembangunan pelancongan dan identiti bandar.

Majlis itu turut menjadi sebahagian daripada sambutan 100 Tahun Padungan yang diserikan dengan Festival Tahun Baharu Cina Padungan yang berlangsung dari 6 hingga 15 Februari, menampilkan pelbagai persembahan kebudayaan dan aktiviti komuniti.

Dato Wee berkata, usaha pemuliharaan warisan bukan bermaksud menolak pembangunan, sebaliknya mengurus kemajuan secara bertanggungjawab agar identiti sejarah terus kekal untuk generasi akan datang.

Oleh Shahrul Qaizat

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Op Selamat 25: Peningkatan kes maut cetus kebimbangan di Sarawak
Next: MBKS jalin kerjasama dengan agensi bantu nelayan Sungai Apong

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.