KUCHING: Kerajaan Sarawak memutuskan untuk memperluaskan tujuh langkah tambahan di bawah Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) hingga akhir tahun ini.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ini bagi mengurangkan kesan wabak terhadap rakyat memandangkan lonjakan kes Covid-19 di seluruh negara yang telah mempengaruhi perniagaan dan kehidupan semua.
“Tujuh langkah tambahan di bawah BKSS 4.0 akan memberi implikasi kepada Kerajaan Sarawak dengan jumlah keseluruhan RM104.84 juta,” katanya pada sidang media BKSS 4.0 di Wisma Bapa Malaysia, semalam.
Tambahnya, tujuh langkah tersebut adalah diskaun bil elektrik, diskaun bil air, diskaun sewa Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) sebanyak 50 peratus untuk kediaman, bantuan RM500 sekali bayar untuk pemandu e-hailing dan pengajar, potongan 50 peratus sewa pasar dan gerai, pengecualian permit dan fi lesen, pengecualian penyewaan kepada Perusahaan Kecil dan Sederahan (PKS) dalam sektor runcit yang beroperasi di premis yang dimiliki oleh GLC Negeri dan badan berkanun.
“Untuk potongan bil elektrik, pengguna domestik, komersial dan perindustrian akan terus diberi potongan harga sebanyak lima peratus sehingga 25 peratus pada bil elektrik bulanan mereka untuk Oktober hingga Disember ini.
“Potongan harga akan menguntungkan 686,847 pengguna di seluruh Sarawak dan kos terkumpul diskaun berjumlah RM83.4 juta akan ditanggung Kerajaan Sarawak,” ujarnya.
Mengenai potongan bil air, beliau memberitahu bahawa pengguna domestik, komersial dan perindustrian akan terus diberi potongan 10 peratus hingga 25 peratus pada bil air bulanan mereka untuk Oktober hingga Disember.
“Potongan istimewa sekali ini akan memberi manfaat kepada 568,247 pengguna di seluruh negeri. Kos terkumpul diskaun berjumlah RM12.6 juta dan diskaun khas sekali bayar ini akan ditanggung Kerajaan Sarawak,” jelasnya.
Dengan potongan 50 peratus untuk skim sewa rumah HDC yang merangkumi tempoh tiga bulan dari Oktober hingga Disember ini, Abang Johari mengatakan bahawa bantuan ini akan memberi manfaat kepada lebih daripada 3,200 pembeli rumah yang menyewa rumah HDC di seluruh negeri.
“Kerajaan Sarawak juga memutuskan untuk menghulurkan bantuan kepada pemandu e-hailing dan tenaga pengajar memandu.
“Pada Julai lalu, Kerajaan Sarawak menghulurkan bantuan kepada pemain yang relevan di sektor pengangkutan yang terjejas teruk oleh wabak Covid-19 seperti pemandu teksi, pengendali bas sekolah dan van, pengusaha van berlesen dan penambang di negeri ini.
“Sekarang, tanpa meninggalkan pemandu e-hailing, Kabinet telah memutuskan untuk memberikan bantuan serupa kepada 2,396 pemandu e-hailing dan 791 tenaga pengajar memandu di negeri ini. Bantuan sekali bayar RM500 akan menelan belanja sebanyak RM1.59 juta,” tambahnya lagi.
Langkah kelima ialah potongan 50 peratus untuk penyewaan pasar dan gerai yang merangkumi jangka masa tiga bulan hingga Disembee yang diharapkan dapat memberi manfaat kepada lebih daripada 10,000 penjaja yang menyewa pasar dan gerai terutamanya yang berada di bawah bidang kuasa majlis tempatan dan menelan belanja sebanyak RM0.8 juta.
“Sementalahan itu, kerajaan juga akan terus memberikan pengecualian permit dan fi lesen kepada peniaga, penjaja, peniaga pasar malam dan operasi tamu.
“Langkah ini akan meringankan beban rakyat dan menelan belanja Kerajaan Sarawak sebanyak RM4.12 juta,” katanya.
“Langkah terakhir ialah memanjangkan pengecualian bagi penyewaan kepada Perusahaan Kecil dan Sederahan (PKS) dalam sektor runcit yang beroperasi di premis yang dimiliki oleh GLC Negeri dan badan berkanun seperti SEDC, Land Custody Development Authority (LCDA) dan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) untuk jangka masa tiga bulan hingga Disember depan.
“Selama enam bulan terakhir, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah menerima maklum balas positif dari rakyat dan barisan hadapan yang telah mendapat banyak manfaat daripada bantuan BKSS.
“Saya sangat berharap lanjutan BKSS ini hingga akhir tahun akan memberikan bantuan yang sangat diperlukan bagi rakyat kita yang terjejas teruk oleh wabak ini,” katanya.
Oleh Nur Ain Otsman