
KUALA LUMPUR: Tujuh kelab Liga Super berjaya memperoleh Lesen Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Kebangsaan bagi kitaran pelesenan 2025-2026 selepas memenuhi kriteria ditetapkan di bawah Peraturan Pelesenan Kelab Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Edisi 2025-2026.
First Instance Body (FIB) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kelab itu ialah Johor Darul Ta’zim FC, Kuching City FC, Selangor FC, Terengganu FC, Negeri Sembilan FC, Penang FC dan Sabah FC.
Menurut kenyataan itu, empat lagi kelab iaitu Imigresen FC, Melaka FC, Kuala Lumpur (KL) City FC dan PDRM FC diberikan Lesen Kebangsaan dengan sanction mengikut Artikel 8.2 Peraturan Pelesenan Kelab MFL (MFL CLR).
“Empat kelab itu dikehendaki mengemukakan maklumat tambahan kewangan bagi memenuhi keperluan Kriteria Kewangan dan Kriteria Infrastruktur selewat-lewatnya 15 Julai 2026. Kegagalan berbuat demikian maka perkara tersebut akan dirujuk semula kepada pihak FIB untuk tindakan selanjutnya,” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, FIB turut memaklumkan KL City dan PDRM masing-masing dikenakan denda RM45,000 di bawah Artikel 8(f) MFL CLR.
Dalam pada itu, FIB mengesahkan Kelantan The Real Warriors FC tidak diberikan Lesen Kebangsaan kerana gagal memenuhi kriteria yang ditetapkan di bawah Peraturan Pelesenan MFL.
Sementara itu, empat kelab daripada Liga Bola Sepak Amatur (AFL) A1 iaitu Kelantan Red Warrior FC, UM Damansara United FC, Armed Forces FC dan Bunga Raya FC berjaya memperoleh Lesen Kebangsaan Luar Biasa dengan merujuk kepada Artikel 15 untuk Kitaran Pelesenan Kelab MFL 2025-2026.
FIB memaklumkan proses penilaian dibuat berdasarkan keseluruhan dokumen permohonan yang dikemukakan kelab dengan mengambil kira tahap pematuhan terhadap enam kriteria utama iaitu sukan, infrastruktur, personel dan pentadbiran, perundangan, kewangan dan perniagaan.
“Lesen yang diluluskan terhad kepada satu musim pertandingan sahaja untuk pertandingan AFC dan MFL Liga Super, iaitu bagi musim 2026–2027,” menurut kenyataan itu. – Bernama