
MIRI: Tiga lelaki warganegara asing dan empat lelaki warganegara tempatan disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan di simpang Batu Niah di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Polis (ACP) Alexson Naga Chabu semalam menerusi satu kenyataan berkata kesemua suspek berusia dalam lingkungan 20 hingga 47 tahun itu ditahan sekitar 12.35 tengah malam.
Tangkapan dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri.
“Pemeriksaan di tempat kejadian telah menjumpai dan merampas barang disyaki dadah jenis ketamin dan pil jenis ekstasi dengan berat keseluruhan berjumlah 9.9 gram.
“Nilai rampasan dianggarkan jumlah bernilai RM808.00,” katanya.
Kesemua suspek telah dibawa ke Mahkamah Miri untuk permohonan reman manakala kes ini disiasat dibawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta sama.
Alexson turut menasihati orang awam yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyalahgunaan dadah ini untuk segera melaporkan kegiatan tersebut ke balai polis berhampiran agar aktiviti tersebut dapat dibendung dan dibanteras bersama.
Oleh Liong Chai Ling