Oleh: Stefanie Kaso
JANGAN salah sangka. Kami bertujuh bukan saka, yang membuntuti pengamalnya sehingga hujung usia. Bukan juga tujuh orang kerdil, yang kau baca dalam dongeng Puteri Salji ketika usia kecilmu. Kami hanya sekawan tujuh – Satu, Dua, Tiga, Empat, Lima, Enam dan Tujuh. Meski kami bertujuh, kami adalah satu. Tidak, tidak. Masih bukan saka. Kami bertujuh, menemani dukamu.
i
Satu
Hampir sejam wanita tua itu berbaring di tepi suaminya yang sudah kaku. Sebelah jari menggenggam jari suaminya yang kejung dan sejuk. Percayalah, itu bukan pemandangan yang gemar aku lihat. Bukan juga pemandangan yang luar biasa. Kadang-kadang, mereka yang bersedih bertingkah jauh lebih buruk daripada itu, di luar kawalan.
Jururawat dan doktor bukannya tidak memujuk wanita tua itu. Mereka sudah puas memujuk, sejak alat bantuan pernafasan dilepaskan daripada suami wanita tua itu.
“Puan … puan. Bangun puan. Sudah tiba masanya,” seorang jururawat menepuk lembut bahu wanita tua itu.
Namun dia tidak berganjak, malah memejamkan matanya dengan rapat. Wanita tua itu, kami bertujuh namakan Daisi.
Kalaulah Daisi tahu, betapa aku tidak menyukai bau ubat-ubatan yang mengengat hidung dan memeningkan kepala. Sedikit masa lagi aku tinggal di hospital ini, maka akulah yang akan menjadi penghuni katil kosong di sebelah.
Ayuh wanita tua! Sampai bila kau mahu bertingkah begini. Aku sudah bosan duduk di sini. Aku telah melihat pesakit di sini menikmati tiga hidangan makanan hospital, kecur air liurku.
“Puan, puan …” seorang jururawat menepuk lembut bahu Daisi. “Bangun puan. Kami akan bantu puan uruskan …” jururawat itu tidak sampai hati meneruskan kata-katanya.
Daisi akhirnya membuka mata. Dia bangun perlahan-lahan kemudian duduk tegak. “Sudah waktu untuk dia makan ubat bukan?” soalnya.
Jururawat itu menoleh pada seorang doktor yang berhampiran. Doktor itu mengangguk. “Ya puan, ya. Mari saya bawa puan keluar. Kita perlu selesaikan beberapa dokumen penting.”
“Tapi dia perlu makan ubat bukan?”
“Ya puan … nanti kawan saya bagi dia ubat. Puan ikut saya ya?”
Jururawat itu membantu Daisi bangun. Berhati-hati, dia memimpin tangan Daisi untuk dibawa keluar. Berkali-kali Daisi menoleh ke arah katil suaminya, sambil mengingatkan kepada jururawat untuk memberi suaminya makan ubat.
ii
Dua
“Daisi! Daisi!” panggil aku.
Ah, aku lupa. Dia pasti tidak mendengarkan aku. Bukan sahaja mendengar, melihat aku juga tidak dapat. Kami bertujuh hanya wujud untuk menemani Daisi. Kami tidak mampu berbuat apa-apa. Seperti sebentar tadi, dia lupa membawa selendang birunya kerana terburu-buru keluar.
Selendang biru itu adalah pemberian mendiang suaminya. Daisi tidak pernah ke mana-mana tanpa selendang itu meski ketika suaminya masih hidup. Benar kata Satu, wanita tua ini sangat degil. Kedegilannya tidak sepadan dengan umurnya yang sudah lanjut. Aku terpaksa akui, wanita ini sangat sukar dikawal. Apakan daya, tugas tetap tugas. Menemaninya tanpa banyak soal adalah misi kami bertujuh. Cuma kini giliranku. Dan ia sangat memenatkan kerana aku terpaksa berulang-alik ke hospital dari rumah Daisi sejak sebulan.
“Alamak … dia datang lagi,” rungut pengawal yang bertugas di pondok jaga hospital.
“Wanita itu lagi?” soal rakannya yang baru masuk bertugas dua hari yang lalu.
“Ya …”
“Siapa dia?”
Pengawal itu menarik nafas dan menghembusnya perlahan, “Dia … salah seorang saudara pesakit. Suaminya dimasukkan ke hospital kerana sakit tenat. Itu yang aku dengar.”
“Belum sembuh?”
Pengawal itu menggeleng-geleng, “Sudah meninggal bulan lalu.”
Sunyi memenuhi ruang seketika. Pengawal baru itu bertanya lagi, “Kalau begitu, apa urusannya di hospital ini setiap hari? Aku tak faham.”
“Dia melawat wad tiga. Bilik yang sama, katil yang sama.”
“Siapa yang dilawatnya?”
“Tiada sesiapa. Dia mungkin nyanyuk.”
“Tapi siapa?”
“Dia ingat suaminya masih ada di katil yang sama.”
Melopong mulut rakannya itu. Ketika aku dan Daisi melepasi pondok pengawal, kedua-duanya menyungging senyum dan memberi salam kepada Daisi.
iii
Tiga
Daisi tidak lagi berulang-alik ke hospital sejak dua hari yang lalu. Dia meluangkan masanya duduk di sebuah taman dan termenung. Daisi duduk di tempat yang sama, tempat dia dan mendiang suaminya sering duduk suatu ketika dahulu.
“Lihat Fred. Cuaca hari ini sangat bagus …” kata Daisi. Berbicara seolah-olah suaminya ada di sisi. “Kau suka bukan … duduk di sini … membacakan buku untukku.”
Bangku taman itu diteduhi sebuah pohon Tabebuya yang rimbun. Ketika angin bertiup, bunga-bunga berwarna kuning pada dahan Tabebuya jatuh menyembah tanah.
Daisi yang tadinya duduk, bangun perlahan dan menghampiri pohon itu. Dia mengusap permukaan pohon yang terlakar bentuk hati dengan parap nama Daisi dan mendiang suaminya.
Selepas beberapa ketika dia mengusap pohon itu, Daisi menghambur tangis dan menampar-nampar pipi.
“Aku salah! Aku salah! Aku benci! Aku rindu … Fred …”
Oh Daisi. Kenapa kau menyakiti dirimu sebegitu rupa? Kemarahan Daisi tidak berhenti setakat itu. Tiba di rumah, dia mengoyakkan semua dokumen dan bil-bil yang mengingatkannya pada penyakit mendiang suaminya. Ubat-ubat serta alat dan kelengkapan untuk menjaga mendiang suami diselerakkan. Letih melepaskan amarah, Daisi terduduk di lantai.
iv
Empat
“Semua yang berlaku bukan salah puan,” kata doktor muda itu kepada Daisi. Entah Daisi mendengar atau tidak nasihat doktor muda itu. Daisi hanya membungkam sejak tadi.
“Tetapi aku yang melepaskannya pergi …” kata Daisi, wajahnya tertunduk.
“Untuk mengakhiri penderitaan yang dia alami …” sambung doktor muda itu.
“Ya … tapi aku yang membenarkan.”
Doktor muda itu terdiam seketika. Kemudian dia bertanya, “Puan … boleh saya tahu, jika puan ada saudara-mara yang tinggal di sekitar pekan ini?” tanyanya pula.
Daisi mengangkat muka, menoleh pada doktor itu dan menggeleng.
“Begini puan … kalau puan tidak keberatan, puan datanglah ke perjumpaan kumpulan sokongan yang kami adakan setiap Jumaat dan Sabtu. Mungkin … puan akan berasa lega apabila berjumpa dengan orang lain. Kami buat pelbagai aktiviti. Puan datang ya?”
Daisi mengangguk lemah. Aku tahu apa yang difikirkan oleh Daisi. Sepanjang hidup, Daisi jarang bergaul dengan orang lain jika bukan jiran sebelah rumah. Daisi sudah terbiasa berdua dengan mendiang suaminya.
Dalam perjalanan pulang, berkali-kali aku mendengar Daisi bercakap dalam nada yang berbisik.
“Aku yang salah. Aku yang salah … aku yang melepaskannya pergi …”
Aku ragu Daisi setuju dengan cadangan doktor muda itu.
v
Lima
Sejak pulang daripada hospital tempohari, Daisi terperap di dalam bilik dan termenung. Lenguh juga aku menemaninya. Ada ketika Daisi memandang jauh ke luar jendela, memerhatikan urusan biasa yang sedang berlaku di kawasan perumahan mereka. Ada kala Daisi tidak makan sehari suntuk.
Namun hari ini Daisi mengenakan pakaian terbaiknya, seolah-olah dia mahu menghadiri majlis keramaian. Dia berdandan dan melilitkan selendang biru pada leher lalu keluar. Aku mengikutinya dari belakang.
Daisi sempat menyapa beberapa orang jiran yang sering berbual dengannya. Ketika mereka bertanya ke mana tujuannya pada petang itu, Daisi menjawab, “Aku ada urusan kecil yang mahu diselesaikan.” Seperti biasa Daisi tersenyum kecil.
Agak jauh aku dan Daisi berjalan. Daisi tertoleh-toleh dan mendongak setiap kali dia melepasi sebuah bangunan. Tiba di satu bangunan flat 20 tingkat, Daisi masuk dan menekan-nekan butang lif. Tetapi ia tidak berfungsi.
Daisi mendengus marah, “Tiada apa-apa pun yang berfungsi pada zaman sekarang!”
Daisi tertoleh-toleh. Pandangannya tertumpu pada laluan tangga. Dengan langkah perlahan dia masuk ke laluan tangga. Dia mendongak dan mengeluh. “Sebelum sampai di tingkat paling atas kakiku pasti tidak dapat melangkah lagi. Tidak. Aku mesti cari tempat lain.”
Daisi teringatkan satu tempat. Tempat yang pernah dia dan mendiang suami lalui ketika bersiar-siar menunggang basikal beberapa tahun yang lalu. Lalu dia keluar dan menuju ke arah satu jambatan besar yang tidak jauh dari bangunan itu.
Angin bertiup dan mengecai rambut paras bahu Daisi, matanya berpendar-pendar dibias cahaya petang dan air mata pada saat dia terlihat pohon Tabebuya yang meneduh pinggir jalan di kawasan itu.
vi
Enam
Sudah tentu, Daisi memilih jambatan besar itu setelah membuat keputusan – bangunan tinggi sebentar tadi tidak sesuai. Waktu petang, jarang kenderaan atau orang menggunakan jambatan besar lama itu. Kesunyian adalah bunyi paling bising di kawasan sekitar itu.
Terdengar, cuma suara angin, sedikit suara keriuhan anak-anak yang bermain bola di padang seberang jambatan. Rumput dan lalang pula sangat tinggi di kawasan sekitar, agak sukar untuk melihat seseorang sedang berdiri di belebas jambatan yang berniat mengakhiri hayatnya.
Daisi berdiri di belebas jambatan, mendepa kedua tangan dan matanya terpejam rapat. Semua ingatan tentang mendiang suami bermula pada hari perkenalan, menjalin hubungan, berkahwin, hidup bersama, menua bersama sehingga detik-detik terakhir ketika Daisi terpaksa membuat keputusan untuk melepaskan mendiang suaminya pergi – terpampang jelas di balik tubir mata seperti tontonan sebuah filem di panggung.
“Tiada lagi yang tertinggal untukku selepas kau pergi …” katanya perlahan.
Aku tidak menyukai tugasku ini. Tiada siapa di dunia ini yang sanggup menghadapi detik-detik kematian seseorang. Meski aku cuba menutup mata atau cuba menghalang Daisi, ia bukan terpulang kepadaku. Masih aku berkata … jangan terjun Daisi, jangan!
Angin bertiup dengan lebih kencang. Rambut Daisi melambai-lambai, beberapa daun kering terbang di kawasan sekitar, lalang-lalang meliuk-liuk seolah-olah meminta Daisi membatalkan niat.
Kuning. Daun-daun kuning berterbangan. Lebih tepat, daun pohon Tabebuya. Daun-daun itu berterbangan dan sebahagiannya mengelilingi Daisi. Daisi membuka mata. Beberapa helai daun itu menyapu mukanya.
vii
Tujuh
Daisi menurunkan tangan. Dia berundur dan berdiri di tengah-tengah jambatan. Enam menyerahkan Daisi kepadaku, yang terakhir – Tujuh. Aku yang terakhir menemani kedukaan Daisi. Aku berdiri di belakang Daisi seraya memerhatikan tingkahnya. Daisi mengelap sisa-sisa air mata pada pipi, lalu melangkah laju ke arah rumahnya.
Lari Daisi, lari! Secara teknikal, dia cuma melangkah laju kerana masalah lutut yang dialami. Tapi itu bukan masalah kerana yang penting, sesuatu telah menyedarkan Daisi. Aku tahu, kerana aku melihat riak wajah dan mata Daisi nampak berbeza.
Aku membuntuti Daisi dari belakang. Wanita itu berjalan lebih laju daripada biasa. Dia tersenyum-senyum menyapa orang di sekitar. Bahkan orang yang tidak dikenali juga disapa. Jadi … memang ada sesuatu telah berlaku. Sesuatu yang kami bertujuh harapkan berlaku pada penghujung dukanya.
Tiba di halaman rumah, Daisi segera melangkah ke garaj lalu mengeluarkan peralatan menanam bunga. Sepanjang malam dia membuat batas bunga, menabur benih dan menyiramnya. Menjelang subuh Daisi berhenti, terduduk dan keletihan sambil memandang sedikit cahaya yang mengintai melalui renda tirai pagi.
Seperti bunga yang ditanamnya, aku yakin Daisi juga akan tumbuh dan mulai hidup. Aku menyeluruhi wajah Daisi. Seakan-akan membalas tatapanku, dia tersenyum.