KUCHING: Kekayaan sumber semula jadi yang melimpah-ruah meletakkan Sarawak dalam kedudukan terbaik untuk menerajui agenda tenaga hijau, khususnya melalui penghasilan hidrogen bersih dan pelaksanaan sistem pengangkutan awam moden yang pertama di rantau ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kelebihan geografi yang memiliki taburan hujan tinggi serta jaringan sungai yang banyak membolehkan negeri ini beralih sepenuhnya kepada tenaga boleh diperbaharui.
Menurut beliau, sumber air tersebut menjadi asas penting untuk menghasilkan kuasa hidro serta gas hidrogen melalui proses elektrolisis, sekali gus menggantikan kebergantungan kepada bahan api fosil.
Tuhan sangat sayang pada Sarawak. Ini Tuhan sayang pada Sarawak, dia kasih kita air banyak, dia kasih kita ada banyak sungai. Malah, kita mempunyai cahaya matahari sepanjang tahun untuk tenaga solar, selain sisa biojisim daripada hutan tanaman yang boleh ditukarkan kepada biochar bagi menggantikan arang batu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam Reunion Alumni Global Universiti Nanyang di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut mengenai transformasi hijau tersebut, Abang Johari mengumumkan bahawa Sarawak bakal mencetak sejarah pengangkutan serantau menerusi pengenalan sistem Transit Aliran Automasi (ART) berkuasa hidrogen yang dijangka sedia dicuba sepenuhnya pada tahun depan.
Beliau menjelaskan, pemilihan hidrogen sebagai tunjang utama sistem ART berkenaan adalah langkah strategik memandangkan ia merupakan antara gas dan sumber tenaga yang paling bersih di alam semesta.
Sehubungan itu, beliau turut mengajak komuniti antarabangsa, termasuk rangkaian alumni Universiti Nanyang yang berhimpun di Kuching sempena Reunion Alumni Global universiti berkenaan, untuk kembali melawat Sarawak pada masa akan datang bagi merasai sendiri pengalaman menggunakan sistem Transit Aliran Automasi (ART), iaitu pengangkutan awam berkuasa hidrogen yang bakal beroperasi di negeri ini.
“Sistem ART kita dikuasakan oleh hidrogen, yang pertama di rantau ini. Mengapa kita memilih hidrogen? Kerana ia adalah tenaga yang paling bersih, dan kita boleh mendapatkannya terus daripada air melalui proses elektrolisis. Jadi saya harap tahun depan, anda semua boleh datang dan mencuba sendiri ART kita,” ujarnya.
Beliau turut menambah, projek berimpak tinggi itu dibiayai sepenuhnya menggunakan dana kerajaan Sarawak sendiri hasil daripada kedudukan kewangan dan hasil negeri yang semakin mengukuh ketika ini.
Untuk rekod, Sarawak kini sedang rancak melaksanakan fasa ujian dan pembinaan infrastruktur bagi Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) yang melibatkan laluan kenderaan ART berkuasa hidrogen di sekitar bahagian Kuching dan Samarahan, sebelum ia dijadualkan memulakan operasi komersial secara berperingkat bermula penghujung 2025.
Oleh Afiq Sallehi




