ZARINA ABDULLAH
KUCHING: Tugas menghantar dan menyampaikan bantuan bekalan makanan di kampung kawasan terpencil di Baleh bukanlah mudah dan perlu mengambil masa empat jam untuk sampai ke beberapa rumah panjang.
Timbalan Ketua Menteri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh, Tan Sri James Jemut Masing berkata, ini adalah tugasan mencabar dihadapi pasukan petugas untuk menyampaikan bantuan bekalan makanan ke rumah panjang yang terpencil di negeri ini.
“Penghantaran perlu melalui perjalanan yang panjang, sama ada dengan memandu melalui jalan berlumpur yang masih dalam pembinaan, melalui jalan balak yang berbahaya dan juga menggunakan bot.
“Terdapat tidak kurang 200 rumah panjang di kawasan Baleh, dalam beberapa keadaan ia akan mengambil masa tiga hingga empat jam untuk sampai,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Menurutnya, tidak kira hujan atau panas, pasukan petugas Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu tidak pernah gagal dan terus komited untuk menyampaikan bantuan bekalan makanan ke rumah panjang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Saya amat berterima kasih kepada mereka atas usaha mereka membantu mereka yang terjejas dan memerlukan di tempat yang jauh di kawasan saya ini.
“Pusat khidmat saya sentiasa melakukan organisasi untuk memastikan setiap keluarga diberi bantuan makanan sejak hari pertama PKP dilaksanakan bermula 18 Mac lalu,” ujarnya.
Tambahnya, akses jalan sukar begini adalah antara kelebihan bagi penduduk luar bandar dapat mengelak daripada penyebaran wabak Covid-19.
Jelasnya, jika menggunakan pengangkutan helikopter, ia tidak dapat membawa banyak bekalan dan tidak semua rumah panjang mempunyai landasan untuk pendaratan helikopter, maka sebab itulah bantuan di makanan melalui jalan darat.