PENGALAMAN mengikuti kursus anjuran Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JKWS) cawangan Sarikei tahun 2019 dilakar menjadi kraf tangan yang cantik dan unik.
Sikap tidak mudah berputus asa Biah Rambor, 47, membuahkan hasil apabila tudung saji berhias anyamannya mendapat sambutan menggalakkan dari peminat kraftangan dari Sarikei, Julau, Bintulu, Kuching, Sibu, Miri, Sabah dan Semenanjung Malaysia.
“Saya mula berminat membuat tudung saji berhias menggunakan reben selepas belajar membuatnya di kursus JKWS cawangan Sarikei tahun 2019 lalu.
“Selepas mengikuti kursus itu, saya mula belajar sendiri di rumah dan pada mulanya percubaan pertama itu tidak begitu menjadi,” katanya ketika ditemu bual pemberita.
Tambahnya, dia tidak berputus asa dan memberanikan diri belajar daripada mereka yang lebih mahir dan berpengalaman.
Corak kraf tangan tudung saji berhias kebanyakkannya bermotifkan alam flora dan fauna.
“Motif alam flora dan fauna punya kekuatan tersendiri selain perlukan daya imiginasi dalam seni kraftangan.
“Tudung saji berhias saya ini, yang uniknya berbeza dari tudung saji yang lain, kita dapat buat dalam pelbagai corak dan dapat buat mengikut pemintaan pelanggan yang membeli tudung saji berhias kita.
“Contohnya corak dari bendera Malaysia, bendera Sarawak. Ada juga pelanggan yang minta tudung saji berhias bercorak buah nanas, ketupat dan bunga raya,” ujarnya.
Lebih membanggakan, tudung saji berhias hasil kreativiti Biah ini juga menembusi pasaran luar negara iaitu di Australia.
“Satu yang di luar jangkaan saya ialah tudung saji berhias ini mendapat sambutan dari luar negara.
“Produk saya ini telah sampai ke Australia melalui rakan Facebook,” katanya lagi.
Selain itu, tudung saji berhias ini turut mendapat perhatian dari Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh.
“Yang Berhormat (YB) Datu Len Talif Salleh juga berminat dengan tudung saji hiasan ini sehingga berkongsi di laman Facebook beliau. Terima kasih sekali lagi kepada beliau,” katanya.
Sementara itu, katanya, harga tudung saji berhias yang dijualnya bergantung kepada saiz dan reben yang dipakai.
“Tudung saji berhias saiz kecil berharga RM35, saiz sederhana berharga RM70 dan saiz besar berharga RM120.
“Untuk menganyam satu tudung saji memerlukan agak banyak reben. Harga reben di sini juga agak mahal jika dibanding dengan harga di Kuching.
“Harga untuk satu reben ialah RM15 dan belum lagi termasuk harga tudung saji,” ujar Biah.
Dari segi pemasaran produk tersebut, Biah turut menggunakan menggunakan internet untuk memperluaskan jaringan pasaran.
“Sambutannya setakat ini sangat menggalakkan walaupun masih terkesan dengan penularan wabak Covid-19,” jelasnya.
Oleh EARL ANEK