
MIAMI, Amerika Syarikat: Pengurus England, Thomas Tuchel, mengakui pasukannya “bernasib baik” selepas berjaya menyingkirkan Norway 2-1 menerusi masa tambahan untuk mara ke separuh akhir Piala Dunia sebentar tadi.
Tuchel yang jelas berang tidak berminat meraikan kemenangan selepas dua jaringan Jude Bellingham memastikan The Three Lions sekali lagi mencipta kebangkitan mendebarkan di Stadium Hard Rock, Miami.
“Kami menjadikan keadaan sangat, sangat sukar untuk diri sendiri hari ini,” kata Tuchel dalam temu bual di padang sejurus selepas kemenangan pasukannya.
“Keputusan ini sangat hebat. Mara ke empat pasukan terakhir adalah sesuatu yang luar biasa, tetapi saya tidak berpuas hati dengan persembahan kami.

“Komitmen pemain memang ada, tetapi cara kami bermain menjadikan keadaan sangat sukar untuk diri sendiri. Kami cuai, terlalu banyak bermain selamat, tidak cukup pantas dan tidak mencipta peluang yang mencukupi. Kami bernasib baik hari ini.”
England kini akan berdepan sama ada Argentina atau Switzerland di Atlanta pada 3.00 pagi Khamis ini (waktu Malaysia) dalam usaha mara ke final Piala Dunia pertama mereka dalam tempoh 60 tahun.
Namun, Tuchel menegaskan pasukannya perlu meningkatkan prestasi jika mahu terus melangkah jauh dalam kejohanan berkenaan.
“Kami perlu menjadi lebih baik,” kata Tuchel. “Sekarang masa untuk meraikan kemenangan dan menikmati detik ini. Selepas itu, kami hanya mempunyai tiga hari.”- AFP