SIBU: Unit Warden Trafik perlu ditubuhkan di majlis tempatan sebagai usaha untuk membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) polis menangani kesesakan lalu lintas.
Timbalan Ketua Menteri, Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata, pihak majlis harus menyediakan tenaga kerja mereka bagi menampung perkhidmatan tambahan ini kepada masyarakat.
“Saya mahu meningkatkan perkhidmatan pihak majlis tempatan, dengan salah satu daripadanya ialah semua majlis perbandaran telah diberi kuasa oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia untuk mempunyai warden trafik.
“Bagi tujuan itu, pihak majlis tempatan perlu menyediakan tenaga kerja mereka. Kesesakan lalu lintas sangat serius di semua kawasan perbandaran dan kami mahu membantu polis,” jelasnya pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-70 Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), semalam.
Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan mahu majlis tempatan memainkan peranan yang semakin meningkat dalam kesihatan awam.
“Jika kita melihat kembali sejarah, kesihatan awam dahulunya hanya menjadi dominan majlis tempatan.
“Selama bertahun-tahun, ia hanya menjadi dominan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Jadi, kita perlu menyemak semula tenaga kerja, kepakaran untuk memastikan kesihatan awam kembali kepada majlis tempatan,” ujarnya.
Tambahnya, rundingan untuk mengembalikan hak kepada Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah termasuk ekonomi kesihatan dan pendidikan.
Pada majlis sama, Dr Sim bagi pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Sarawak merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua majlis tempatan di atas kerjasama mereka sejak dua tahun lepas.
“Kita telah menjadikan Sarawak mempunyai jumlah kematian terendah akibat Covid-19 di seluruh negara. Selain itu, kerana semangat perpaduan Sarawak, kita mempunyai bilangan vaksinasi dos 1 dan dos 2 tertinggi, serta dos penggalak,” ujarnya lagi.
Turut hadir, Menteri Muda Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II Michael Tiang, Ahli Dewan Negara Senator Robert Lau, Pengerusi MDLBS Sempurai Petrus Ngelai, Residen Bahagian Sibu Wong Hee Sieng serta yang lain.
Oleh AKUN GIMAN