SEPANG: “Kecil-kecil cili padi”.
Itulah peribahasa yang menggambarkan seorang atlet bertubuh kecil Azlyn Farhana Muhammad Azmi Tan namun sama sekali tidak menghalang dirinya untuk meraih gelaran penjaring terbanyak bagi kategori wanita bawah 21 tahun pada Kejohanan Dunia Kanu Polo 2024 di Deqing, China.
Atlet berusia 20 tahun itu berkata meskipun kelebihan fizikal sering menjadi faktor penentu dalam sukan tetapi penguasaan permainan dan teknik mengelirukan pasukan lawan ‘kunci’ buat dirinya untuk menampilkan prestasi cemerlang baru-baru ini.
“Player lain macam tengok dalam gambar saya paling kecil tetapi ‘mindset’ saya, apa yang membezakan saya dengan player lain adalah ketangkasan dan cara saya ‘shooting’ untuk mendapatkan gol.
“Kalau bermain di peringkat Asia, memang saya jadi sasaran. Tetapi berdepan pasukan dari Eropah, mereka mungkin terlepas pandang kepada saya dan agak memandang rendah kepada Team Malaysia ,” katanya kepada pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, semalam.
Terdahulu, Azlyn Farhana muncul penjaring terbanyak dengan menjaringkan 22 gol dalam 10 perlawanan sekali gus membantu skuadnya mengakhiri saingan di kedudukan ke-10 pada kejohanan yang berlangsung pada 15 hingga 20 Oktober lepas.
Dalam pada itu, atlet kelahiran Johor itu berharap prestasi pasukannya yang berhasil membuat debut di Kejohanan Dunia mampu membuka mata orang ramai kepada potensi Malaysia untuk terus menyinar dalam kanu polo di persada antarabangsa.
Beliau turut berharap Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Negara akan terus menyokong pasukan kanu Malaysia dengan memberikan lebih banyak pendedahan untuk berentap bersama pasukan bertaraf dunia.
“Amat berharga untuk kami pergi ke peringkat luar kerana di Malaysia sahaja tidak cukup untuk mengembangkan bakat kami dan kami perlu sentiasa mendapat pengalaman pasukan lain dari segi ‘game play’ serta apa yang mereka buat sampai jadi juara,” katanya. – Bernama