THINK & Thinker (T&T) Mini Lab merupakan suatu sudut untuk para pelajar berfikir, konseptual, mencipta atau berinovasi bagi menjadikan sesuatu idea kepada realiti kata Pengerusi Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), Datu Len Talif Salleh.
Katanya, Think bermaksud berfikir dan Thinker pula adalah untuk menambah baik atau mengubah suai sesuatu.
“T&T Mini Lab membolehkan para pelajar mempamerkan bakat dan kemahiran mereka dalam bidang inovasi digital dan teknologi.
“Dengan penubuhan T&T Mini Lab ini, maka pakar industri juga boleh berkongsi
ilmu dan kepakaran mereka berkaitan teknologi dan digital bersama para pelajar, guru dan komuniti setempat secara efektif seterusnya melahirkan pelajar yang celik inovasi digital dan teknologi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian T&T Mini Lab 2021 bagi Sekolah Kebangsaan (SK) Agama (MIS) Sarikei di Dewan Serbaguna Kampung Baru Seberang Sarikei, baru-baru ini.
Len Talif yang juga Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar berkata, pembangunan teknologi dan digital merupakan dasar yang amat penting dalam kita hendak mencapai negeri termaju di Malaysia menjelang tahun 2030.
“Kebanyakan negara-negara maju seperti
China, Amerika Syarikat dan Jepun amat menekankan pembangunan teknologi dan digital di dalam sektor-sektor penting mereka.
“Ini bagi memastikan ekonomi negara mereka terus kukuh dan berdaya saing disamping mengoptimumkan keuntungan.
“Rentetan itu, bagi memastikan agenda tersebut terus mencapai kejayaan maka negara- negara ini amat menekankan pendidikan berkenaan dengan teknologi dan digital bermula diperingkat sekolah lagi,” ujarnya.
Oleh yang demikian, katanya, pelajar perlu dipersiapkan dengan literasi digital dan teknologi ini bermula dari peringkat sekolah lagi bagi memastikan mereka bersedia dengan revolusi industri 4.0.
“Perkara ini juga adalah selaras dengan hasrat Kerajaan Sarawak yang ingin menjadikan rakyat Sarawak celik digital dan
teknologi bagi memastikan agenda ekonomi digital sebagai sumber pendapatan baharu di negeri ini dapat direalisasikan.
“Saya percaya dan yakin dengan adanya T&T Mini Lab ini, maka kita dapat lahirkan ramai anak tempatan yang berpikiran kreatif, inovatif dan inventif seperti Steve Jobs dan Bill Gates.
“Melalui T&T Mini Lab ini nanti, maka para pelajar akan didedahkan dengan kemahiran
pengaturcaraan (Programming) dan pengekodan (Coding),” katanya lagi.
Dalam pada itu, katanya, TEGAS akan mengunakan Scratch & Python Language untuk projek pengaturcaraan di seluruh Sarawak supaya lebih mudah bagi pelajar memahami dan mendalaminya.
“Dimaklumkan bahawa terdapat subjek Reka Bentuk Teknologi (RBT) diajarkan di sekolah, maka dengan adanya Think & Tinker (T&T) Mini Lab, maka para pelajar boleh mengaplikasikan secara langsung subjek tersebut kerana pelbagai peralatan teknologi telah disediakan di T&T Mini Lab ini.
“Saya juga yakin melalui T&T Mini Lab ini nanti, maka akan lebih ramai para pelajar yang boleh mencipta teknologi Virtual Reality (VR), Augmented Reality (AR), Mixed Reality (MR) dan secara tidak langsung boleh membantu dalam pembangunan pelbagai sektor di Sarikei ini terutamanya sektor pelancongan dan jualan produk
tempatan.
“Ini kerana melalui teknologi ini maka maklumat dan informasi mengenai produk dan tempat pelancongan akan lebih mudah
disampaikan kepada para pelancong asing disamping ianya lebih menarik bagi mengalakan para pelancong datang ke sini,” tambahnya.
SK Agama (MIS) Sarikei merupakan salah sebuah sekolah yang telah disenaraikan dalam 11 buah sekolah perintis bagi projek T&T Mini Lab ini.
Jelasnya, selain itu, T&T Mini Lab ini juga akan membolehkan para pelajar untuk
menciptakan sendiri applikasi berkaitan pertanian moden dimana kemungkinan nanti mereka boleh menciptakan applikasi yang boleh mengesan kesuburan tanah dan jenis tanaman yang sesuai pada tanah tersebut supaya ianya boleh mengoptimumkan pengeluaran hasil pertanian.
“Selain itu, mungkin applikasi dan teknologi tersebut juga boleh mengawal sistem pengairan dan pembajaan tanaman mengikut kesesuaian dan keperluan tumbuhan yang ditanam.
“Selain daripada itu, T&T Mini Lab juga akan memberi pendedahan kepada pelajar tentang robotik dan dron.
“Penggunaan robot adalah sesuatu yang tidak asing di dalam sektor-sektor penting negara bagi meningkatkan pengeluaran untuk memenuhi permintaan pasaran.
“Sebagai contoh, sektor automotif kebanyakan pemprosesan dilakukan
oleh robot,” katanya.
Tambahnya, begitu juga dalam sektor pertanian, penggunakan dron sebagai alternatif di dalam proses pembajaan dan meracun serangga perosak pada tanaman.
“Melalui modul-modul pembelajaran yang telah disediakan untuk T&T Mini Lab ini, saya amat yakin dan percaya pada masa akan datang kita dapat melahirkan pakar teknologi dan digital ataupun “Innovator &
Inventor” yang terdiri daripada anak tempatan kita sendiri.
“Saya menyeru para pelajar harus mengambil peluang ini kerana ia merupakan senjata kepada mereka untuk menempuh cabaran masa depan dalam revolusi industri 4.0 dimana automation, machine learning, Internet of Thing (IOT) dan real time data akan mengambil peranan penting untuk membentuk kehidupan seharian kita.
“Selain itu, sokongan dan kerjasama daripada pelbagai pihak seperti ibu bapa, agensi kerajaan dan swasta, ketua- ketua masyarakat dan kaum dan industri harus bersama-sama dalam membantu bagi merealisasikan projek ini demi masa depan anak-anak kita,” katanya lagi.
Oleh EARL ANEK