
PENULIS tertarik dengan kenyataan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Dewan Rakyat semalam mengenai isu kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13 tahun.
Antara lain beliau berkata: “Dah viral, dah ada protes, baru ada keberanian nak tukar pengetua, warden dan polis penyiasat serta buat bedah siasat.
“Kita lihat kes adik Zara, persoalan saya kenapa lambat sangat, perlu tunggu dua tiga minggu baru nak ambil tindakan.
“Bayangkan ibu bapa yang nak hantar anak ke sekolah berasrama penuh (SBP), mereka tentu bimbang anak dibuli, malah puluhan lagi kes buli di luar sana berlaku, cuma tak dapat liputan meluas, bagaimana nasib mereka?
“Cukup-cukuplah kita reaktif hanya bila ada liputan media meluas, ada kematian, ada protes besar-besaran, realitinya ramai mangsa buli berdiam diri, tak sampai tahap sehingga membawa kematian tapi impaknya kepada maruah mereka berkekalan berpuluh-puluh tahun dan beri impak kepada pembangunan sahsiah diri,” katanya ketika sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat.
Itulah sebenarnya juga bermain dalam pemikiran kebanyakan rakyat.

Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai selepas dimasukkan ke hospital setelah dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama SMKA Tun Datu Mustapha, Papar pada 4 pagi 16 Julai.
Kematian pelajar Tingkatan Satu itu mencetuskan perhatian meluas susulan dakwaan berlaku insiden buli membabitkan pelajar senior di sekolah berkenaan.
Jumaat lepas, AGC mengarahkan agar kubur Zara Qairina digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah pelajar berkenaan.
AGC memutuskan demikian selepas berpendapat wujud keperluan untuk siasatan lanjut oleh pihak polis demi memastikan siasatan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Berikutan itu, pada 9 Ogos, kubur remaja berkenaan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang di Sabah digali semula dan jenazahnya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I untuk proses bedah siasat sebelum dikebumikan semula tiga hari lepas di tanah perkuburan sama.
KUASA NITIZEN
Kes ini menarik perhatian seluruh negara sekarang. Dan desakan demi keadilan untuk adik Zara ini, adalah hasil bersepadu ‘Jabatan Nitizen’.
Inilah sisi positif pada zaman viral sekarang, membuka mata semua pihak, sekali gus bagaikan ‘tsunami Zara’ melanda seluruh negara.
Disebabkan isu tular ini yang tersebar begitu cepat, meraih simpati orang dengan ribuan orang berhimpun di beberapa lokasi seluruh negara terutama di Sabah.
Pemergian Allahyarham Zara Qairina telah menyatukan rakyat Malaysia merentasi sempadan dan perbezaan.
Tetapi yang negatifnya pula banyak andaian termasuk fitnah dan berita belum disahkan, tersebar di media sosial hingga polis terpaksa menahan mereka yang terbabit untuk siasatan lanjut. Menurut polis, antara dakwaan palsu disiasat ialah kononnya mangsa dimasukkan ke dalam mesin basuh yang tular di media sosial.

Isu ini dan juga beberapa kes buli sebelum ini seharusnya memberi pengajaran kepada semua.
Apapun, biar siasatan menyeluruh dilakukan terutama proses inkues seperti diarahkan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) semalam.
Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata siasatan kes kematian pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha di Papar, Sabah itu yang sebelum ini diklasifikasi sebagai kematian mengejut kini akan menjurus kepada elemen jenayah termasuk kesalahan buli.
Katanya, hal itu merupakan antara dua dapatan pasukan khas jabatan berkenaan membabitkan sembilan pegawai dan anggota yang dihantar ke Sabah pada 11 Ogos lepas untuk menyiasat kes tersebut.
Kumar berkata laporan bedah siasat telah mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan otak teruk berikutan kekurangan oksigen dan aliran darah ke otak yang berpunca daripada mangsa jatuh, sama seperti diagnosis awal bagi kematiannya sebelum ini.
Kumar turut menegaskan bahawa tiada unsur ‘cover up’ dalam siasatan.
Hakikatnya, kes buli banyak berlaku sejak kebelakangan ini. Menurut data terkini, dari 2021 hingga 2024, berlaku peningkatan 20 kali ganda kes buli di peringkat sekolah.
TREND BULI MEMBIMBANGKAN
Namun, apa yang lebih membimbangkan adalah trend buli yang membabitkan tindakan keganasan sehingga mengakibatkan kecederaan.
Peningkatannya lebih 77 kali ganda dari 2015 hingga 2023, daripada 3,000 kes kepada 5,300 kes.
Setiap anak berhak untuk membesar dalam persekitaran yang selamat, bebas daripada ketakutan dan ancaman.
Sebagai penutup kita hayati lagu khas bertajuk ‘Justice For Zara Qairina’ ciptaan Norsalim Ali yang tular di pelbagai platform media sosial sebagai tanda solidariti terhadap kematian tragis Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Berikut disertakan lirik lagu ‘Justice For Zara Qairina’:
Usia mu baru tiga belas
Mimpi masih berlari di padang luas
Tapi malam itu semuanya kelam
Bulan jadi saksi. Kau tak pernah pulang
Bahagian rap:
Kata mereka, kau jatuh sendiri
Tapi benarkah itu realiti?
Bila tengkuk mu bengkok, tubuh mu mati dan tapak kaki kiri kau berdarah sunyi.
Tiada jeritan, tiada cahaya, kau rebah dalam gelap derita
Siapa yang tahu apa yang terjadi? Siapa yang kejam? Siapa bersalah kini?
Bahagian korus:
Justice for Zara Qairina bukan sekadar nama di pusara
Tangisan ibu jadi nyala
Kita bangkit demi kebenaran nyata
Justice for Zara Qairina di langit Sabah yang saksi luka
Buli itu pembunuhan senyap!
Hari ini suara kami takkan senyap
Bahagian rap:
Kau bukan cerita untuk dilupa
Kau jeritan buat semua yang lena
Di asrama, tempat sepatutnya selamat
Kini jadi pentas duka yang gelap
Kaki kanan lurus, kiri terlipat
Kepala terkulai, tubuh mu terlentang!
Mana cikgu? Mana warden? Mana suara bila Zara ditinggalkan?
Mana suara bila Zara ditinggalkan
Kami juga anak-anak sekolah
Kami bukan boneka yang diperah
Jangan sembunyi kebenaran
Kami tutup satu pembelaan.
Al-fatihah untuk adik Zara Qairina.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak