Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Tsunami melanda Jepun, seorang wanita maut ketika cuba selamatkan diri
  • GLOBAL

Tsunami melanda Jepun, seorang wanita maut ketika cuba selamatkan diri

Utusan Sarawak 22 hours ago
SEBUAH helikopter Jabatan Polis Los Angeles terbang di atas pantai Santa Monica, California, susulan amaran tsunami pada 29 Julai 2025. Tsunami melanda beberapa kawasan di Timur Jauh Rusia dan Jepun pada 30 Julai selepas gempa bumi besar berukuran 8.8 magnitud, dengan amaran gelombang melebihi tiga meter (10 kaki) dikeluarkan di beberapa lokasi sekitar Lautan Pasifik. Foto AFP

CHIBA, JEPUN: Salah satu gempa bumi terkuat yang pernah direkodkan melanda kawasan Timur Jauh Rusia yang jarang didiami pada hari ini, menyebabkan tsunami setinggi empat meter merentasi Lautan Pasifik serta mencetuskan pemindahan dari Hawaii hingga ke Jepun.

Gempa bumi berukuran 8.8 magnitud itu berlaku di luar pesisir Petropavlovsk, di semenanjung Kamchatka, dan merupakan yang terbesar sejak 2011 apabila gempa 9.1 magnitud di luar Jepun mencetuskan tsunami yang meragut lebih 15,000 nyawa.

SEORANG pegawai polis memandu di Dermaga Santa Monica sambil memberi amaran kepada orang awam mengenai waktu penutupan biasa dermaga itu susulan amaran tsunami di Santa Monica, California, pada 29 Julai 2025. Tsunami melanda beberapa kawasan di Timur Jauh Rusia dan Jepun pada 30 Julai selepas gempa bumi besar berukuran 8.8 magnitud, dengan amaran gelombang melebihi tiga meter (10 kaki) dikeluarkan di beberapa lokasi sekitar Lautan Pasifik. Foto AFP

Hampir dua juta penduduk di Jepun diarahkan berpindah ke kawasan lebih tinggi dan amaran tsunami dikeluarkan di seluruh rantau tersebut, sebelum ia ditarik balik atau diturunkan tahapnya walaupun saintis memberi amaran tentang bahaya gegaran susulan yang kuat.

Tsunami telahpun melanda dan membanjiri bandar pelabuhan Severo-Kurilsk, menghanyutkan kawasan pelabuhan serta menenggelamkan kilang pemprosesan ikan tempatan, menurut pegawai. Rakaman televisyen Rusia menunjukkan bangunan dan serpihan dihanyutkan ke laut.

Pihak berkuasa berkata, penduduk seramai kira-kira 2,000 orang telah dipindahkan.

OMBAK membadai Pantai Waikiki yang lengang pada 29 Julai 2025 di Honolulu, Hawaii. Sebahagian kawasan di pantai barat Amerika Syarikat dan Jepun sedang dipindahkan susulan amaran tsunami selepas salah satu gempa bumi terkuat dalam sejarah moden melanda Semenanjung Kamchatka di timur Rusia. Foto AFP

Gelombang tsunami tersebut sampai sehingga ke tugu peringatan Perang Dunia Kedua di bandar itu, kira-kira 400 meter dari pantai, menurut Datuk Bandar Alexander Ovsyannikov.

Beberapa orang dilaporkan cedera akibat gempa bumi itu di Rusia, menurut media rasmi, namun tiada yang cedera parah.

“Dinding bergegar,” kata seorang penduduk Kamchatka kepada media Zvezda.

“Nasib baik kami sudah siap sedia dengan sebuah beg yang berisi air dan pakaian di tepi pintu. Kami cepat-cepat ambil dan terus keluar… memang menakutkan,” katanya.

Pada sebelah petang hari ini, pihak berkuasa di semenanjung Kamchatka mengumumkan bahawa amaran tsunami telah ditarik balik.

Pegawai dari negara-negara pesisir Pasifik di Amerika Utara dan Selatan termasuk Amerika Syarikat, Mexico, Ecuador dan Colombia mengeluarkan amaran supaya mengelakkan pantai dan kawasan rendah yang terancam.

Di Jepun, hampir dua juta penduduk dinasihatkan berpindah, dan ramai yang meninggalkan rumah dengan kereta atau berjalan kaki ke kawasan lebih tinggi.

Seorang wanita maut apabila keretanya terjunam ke tebing dalam cubaan melarikan diri, lapor media tempatan.

Tsunami setinggi 1.3 meter dilaporkan melanda sebuah pelabuhan di wilayah utara Iwate, menurut agensi meteorologi Jepun.

Menjelang malam Rabu, agensi itu telah menurunkan tahap amaran tsunami yang sebelum ini dikeluarkan untuk kebanyakan kepulauan tersebut.

SEORANG pegawai polis memandu di Dermaga Santa Monica sambil memberi amaran kepada orang ramai mengenai waktu penutupan biasa dermaga itu susulan amaran tsunami di Santa Monica, California, pada 29 Julai 2025. Tsunami melanda beberapa kawasan di Timur Jauh Rusia dan Jepun pada 30 Julai selepas gempa bumi besar berukuran 8.8 magnitud, dengan amaran gelombang melebihi tiga meter (10 kaki) dikeluarkan di beberapa lokasi sekitar Lautan Pasifik. Foto AFP

Di Hawaii, Gabenor Josh Green berkata penerbangan masuk dan keluar dari pulau Maui dibatalkan sebagai langkah berjaga-jaga.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik kemudian menurunkan tahap amaran untuk Hawaii kepada nasihat berjaga-jaga, dan pihak berkuasa tempatan membatalkan arahan pemindahan di kawasan pantai.

Sebelum itu, siren tsunami dibunyikan berhampiran pantai popular Waikiki di Hawaii, dengan seorang jurugambar AFP melaporkan kesesakan lalu lintas ketika penduduk bergegas ke kawasan lebih tinggi.

-AFP

Tags: Global

Continue Reading

Previous: Darurat diisytihar di Petropavlovsk-Kamchatskiy susulan gempa bumi
Next: Gunung berapi Klyuchevskoy di Rusia mula meletus

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.