
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Jumaat mengancam akan mengenakan tarif ke atas Samsung dan pengeluar telefon pintar lain, susulan kenyataan terdahulu yang menyasarkan Apple, lapor agensi berita Xinhua.
“(Tarif) itu akan dikenakan juga kepada Samsung dan sesiapa sahaja yang menghasilkan produk itu. Jika tidak, ia tidak adil.
“Itu akan bermula, saya kira, hujung Jun… saya rasa kita boleh laksanakannya menjelang akhir Jun,” kata Trump kepada wartawan di Rumah Putih, apabila ditanya sama ada beliau mempunyai kuasa untuk mengenakan tarif terhadap satu syarikat sahaja.
Samsung, syarikat dari Korea Selatan, terkenal dengan siri telefon pintar Galaxy yang menjadi pesaing utama kepada iPhone keluaran Apple.
Terdahulu, Trump mengumumkan di media sosial bahawa beliau akan mengenkan tarif sebanyak 25 peratus ke atas produk Apple jika iPhone tidak dihasilkan di Amerika Syarikat.
“Saya telah lama memaklumkan kepada Tim Cook dari Apple bahawa saya menjangkakan iPhone yang dijual di Amerika Syarikat perlu dibuat dan dipasang di negara ini, bukan di India atau mana-mana tempat lain.
“Jika tidak, Apple perlu membayar tarif sekurang-kurangnya 25 peratus kepada AS,” tulis Trump di platform Truth Social. — Bernama-Xinhua