
Bekas Naib Presiden, Kamala Harris. Foto fail AFP
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dilaporkan membatalkan perlindungan peribadi lanjutan oleh Secret Service untuk bekas Naib Presiden Kamala Harris, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Menurut siaran CNN dan NBC News pada Jumaat, arahan terdahulu oleh pendahulunya Joe Biden untuk memberi Harris – yang ditewaskan Trump pada pilihan raya presiden tahun lalu – perlindungan tambahan selama setahun telah dibatalkan.
CNN melaporkan pengaturan khas itu kini dijadual tamat pada 1 Sept, beberapa minggu sebelum Harris memulakan jelajah bacaan bagi pelancaran bukunya mengenai kempen pilihan raya 2024.
Secret Service bertanggungjawab melindungi ahli politik kanan di AS.
Bekas presiden dilindungi sepanjang hayat, manakala naib presiden hanya diberikan perlindungan peribadi selama enam bulan selepas meninggalkan jawatan.
Memandangkan tempoh perkhidmatan Harris berakhir pada pertengahan Januari, perlindungan Secret Service sepatutnya tamat pada pertengahan Julai.
Namun menurut CNN, Biden secara senyap melanjutkan perlindungan peribadi Harris selama setahun melalui dekri sebelum beliau meninggalkan jawatan.
Terdahulu pada Mac, Trump turut mengarahkan penamatan perlindungan peribadi untuk anak-anak Biden, Hunter dan Ashley.
Presiden itu juga menarik balik perlindungan untuk bekas Setiausaha Negara Mike Pompeo serta bekas penasihatnya John Bolton – yang kini menjadi antara pengkritik paling lantang Trump.– BERNAMA-dpa