

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, kelihatan menghadiri satu acara di Rumah Putih pada Isnin dengan ruam merah yang ketara di lehernya, yang menurut doktornya berpunca daripada rawatan “pencegahan”.
Gambar AFP menunjukkan tompokan merah dengan beberapa kesan kuping berwarna kecoklatan kelihatan di atas kolar bajunya di bahagian kanan leher presiden berusia 79 tahun itu, yang merupakan individu tertua pernah dipilih memegang jawatan tersebut.
“Presiden Trump sedang menggunakan krim yang sangat biasa pada bahagian kanan lehernya, iaitu rawatan kulit berbentuk pencegahan yang dipreskripsikan oleh Doktor Rumah Putih,” kata doktor presiden, Sean Barbabella, dalam satu kenyataan kepada AFP.
“Presiden menggunakan rawatan ini selama seminggu dan kemerahan itu dijangka berlarutan selama beberapa minggu.”
Tompokan merah itu dikesan ketika majlis penyampaian Pingat Kehormatan, selepas hujung minggu yang sibuk menyaksikan Trump melancarkan serangan ketenteraan AS ke atas Iran.
Sebelum ini, Trump juga pernah dilihat mengalami lebam pada tangannya, yang menurut Rumah Putih berpunca daripada pengambilan aspirin.
Spekulasi mengenai tahap kesihatan Trump turut timbul susulan kesan lebam berkenaan, selain bengkak pada kaki serta beberapa detik beliau dilihat seakan-akan terlelap ketika menghadiri acara awam.
Rumah Putih pada musim panas lalu memaklumkan bahawa bengkak kaki Trump didiagnosis sebagai simptom kekurangan vena kronik (chronic venous insufficiency) — keadaan lazim yang berlaku apabila injap vena tidak berfungsi dengan baik, menyebabkan darah berkumpul dan mengakibatkan bengkak, kekejangan serta perubahan pada kulit. – AFP