WASHINGTON: Presiden Donald Trump mengucapkan tahniah kepada Yoshihide Suga yang dipilih sebagai Perdana Menteri Jepun yang baharu sambil kedua-duanya membincangkan isu melingkari rantau Asia Pasifik.
Presiden Amerika Syarikat (AS) itu membangkitkan isu kepada Suga ke arah rantau Asia Pasifik yang bebas dan terbuka, yang semakin dikuasai China.
Kehadiran tentera Beijing yang meluas di rantau Pasifik membimbangkan beberapa negara jirannya dan Washington berjanji menentang tuntutan China terhadap wilayah berkaitan.
China terperangkap dalam perselisihan dengan negara jiran termasuk Jepun dan Vietnam berkaitan pulau di Laut China Selatan yang kaya dengan sumber.
“Kedua-dua pemimpin itu membincangkan pentingnya mengejar visi bersama mengenai Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka, memperkukuh hubungan AS-Jepun dan bekerjasama memperkuat ekonomi global,” kata Rumah Putih dalam satu kenyataan.
Selepas perbualan telefon itu, Suga turut memberitahu wartawan beliau menjelaskan kepada Trump mengenai kerjasama negara itu dengan Washington berpaksi kepada landasan keamanan dan kestabilan di rantau ini, lapor Kyodo News Jepun.
Dalam perbualan mereka selama 25 minit itu, Trump dan Suga juga membincangkan keadaan di Korea Utara.
Pemimpin Jepun itu meminta sokongan AS untuk membantu membawa pulang warga Jepun yang diculik Korea Utara pada tahun 1970-an dan 1980-an, lapor media Jepun itu.
Kedua-dua pemimpin juga membincangkan tindak balas terhadap pandemik Covid-19 dan bersetuju untuk bekerjasama mengembangkan dan menyebarkan vaksin serta rawatan mencegah virus membunuh itu.
Tedahulu, Suga bercakap dengan Perdana Menteri Australia, Scott Morrison menerusi telefon, yang menurut Kyodo adalah ketua kerajaan pertama dihubunginya sejak menjadi Perdana Menteri.
Parlimen Jepun memilih Suga, 71, sebagai pemimpin baru negara itu pada Rabu lalu.
Suga menyatakan komitmennya untuk membina hubungan kukuh berterusan dengan Washington selain hubungan stabil dengan China dan Rusia.
Jepun dilihat terperangkap dalam ketegangan di antara AS dan China, dua rakan dagang terbesarnya. – AFP