
ISTANBUL: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump semalam menyifatkan pertemuan pertamanya dengan Presiden Syria Ahmad al-Sharaa sebagai hebat, selain memuji potensi pemimpin itu dalam kenyataan di atas pesawat Air Force One.
“Seorang lelaki muda yang menarik, tegas dan berani serta mempunyai latar belakang yang kukuh. Beliau juga seorang pejuang. Beliau memang ada peluang sebenar untuk menguruskan keadaan dengan baik,” kata Trump kepada pemberita.
Pertemuan itu diadakan di ibu negara Arab Saudi, Riyadh dan turut disertai Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman manakala Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan menyertai melalui panggilan telefon.
“Saya bercakap dengan Presiden Erdogan yang sangat mesra dengannya. Beliau rasa al-Sharaa berpotensi melakukan tugas yang baik,” kata Trump.
Presiden AS itu menambah bahawa beliau menggalakkan Syria menyertai Perjanjian Abraham sebaik sahaja isu dalaman negara itu dapat diselesaikan.
Perjanjian Abraham merupakan pakatan kontroversi yang dimeterai semasa penggal pertama Trump bagi menormalkan hubungan diplomatik antara Israel dan beberapa negara Arab di rantau itu.
Trump pada Rabu turut mengumumkan bahawa AS akan menarik balik sekatan terhadap Syria.
-Bernama