PHILADELPHIA: Kamala Harris berkata, Donald Trump membuat “kekacauan” di Amerika Syarikat (AS) dan pesaingnya itu menyifatkan wanita berkenaan sebagai “Marxis”, dalam Debat Presiden pada Selasa.
Menerusi acara dihoskan oleh ABC News itu, Trump, 78, dilihat meninggikan suaranya dan menggunakan pelbagai perkataan yang menghina terhadap Harris, 59.
Debat bermula apabila Harris, naib presiden daripada Parti Demokrat itu secara tidak disangka-sangka menghampiri Trump yang juga bekas presiden daripada Parti Republikan, untuk berjabat tangan.
Dalam beberapa minit, Trump memanggil Harris sebagai Marxis, dan mendakwa pesaingnya itu dan Presiden Joe Biden membenarkan jutaan orang masuk ke AS dari penjara dan institusi mental.
Harris pula menegaskan, Trump adalah penjenayah yang disabitkan kesalahan, memanggilnya sebagai “ekstrem” dan berkata, ia adalah tragedi sepanjang kerjaya bekas presiden itu apabila menggunakan pilihan raya untuk memecahbelahkan rakyat AS.
Antara topik utama yang mencuri perhatian adalah keengganan Trump untuk menerima kekalahan kepada Biden dalam pilihan raya 2020, sebelum cuba membatalkan keputusan itu.
Di hadapan penonton, Trump mengulangi keyakinannya bahawa banyak bukti menunjukkan beliau sebenarnya adalah pemenang pilihan raya lalu.
Harris berpaling kepada Trump dan berkata, bekas pegawai keselamatannya sendiri di Rumah Putih memanggilnya sebagai memalukan.
“Pemimpin dunia mentertawakan Donald Trump,” katanya.
Satu lagi isu panas adalah mengenai pengguguran.
Trump menegaskan, walaupun mendesak penamatan hak persekutuan untuk pengguguran, beliau mahu setiap negeri membuat dasar mereka sendiri.
Harris berkata, Trump berbohong dan menyebut dasarnya itu menghina wanita AS.
Untuk rekod, Harris menjadi calon presiden mewakili Parti Demokrat selepas Presiden Joe Biden mengundurkan diri untuk bertanding bagi penggal kedua.
Trump pula mewakili Parti Republikan.
Pilihan Raya Presiden berlangsung pada 5 November depan. – AFP