Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Trump di ASEAN, diplomasi lunak kepimpinan negara
  • KOLUMNIS

Trump di ASEAN, diplomasi lunak kepimpinan negara

Utusan Sarawak 1 day ago

KEHADIRAN Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN–Amerika Syarikat 2025 di Kuala Lumpur bukan sekadar lawatan diplomatik biasa.

Sebaliknya ia adalah satu peristiwa bersejarah, simbolik, strategik dan menepati suasana politik sebenar yang memerlukan kepimpinan negara menyesuaikan situasi dengan bijaksana.

Peristiwa ini juga menandakan transformasi hala tuju hubungan kuasa besar dengan rantau Asia Tenggara.

Dalam tempoh tiga minit pertama selepas turun dari pesawat, Trump berjaya memecah tembok dan membina citra bahawa beliau bukanlah Trump yang banyak disorot secara negatif oleh pengkritik di seluruh dunia.

Kejayaan Trump memecahkan tembok negatif tersebut dimulai dengan langkah ceria, menyertai tarian zapin dan memberikan apreasi seni tari tempatan.

Beliau juga kemudian mengibarkan bendera Malaysia dan Amerika Syarikat (AS), iaitu satu tindakan tidak konvensional tetapi sarat makna.

Aksi ini bukan hanya memecahkan protokol, tetapi juga tembok persepsi — terhadap dirinya, terhadap AS, dan terhadap watak baharu yang dimainkan oleh ASEAN, khususnya Malaysia, dalam pentas global.

Simbol bukan kosong: Trump dan politik persepsi

Tarian zapin Trump mungkin tampak remeh dalam sudut diplomatik barat yang rigid, namun di Asia, simbol seperti ini membawa mesej mendalam.

Dalam budaya Melayu, menari bersama tuan rumah adalah tanda penerimaan, rendah hati dan pengiktirafan. Dalam real politik antarabangsa pula, ia adalah lambang pemanfaatkan kuasa lunak (soft power) oleh Malaysia yang menerajui kepengerusian ASEAN tahun ini.

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.

Di media, Trump dikenali sebagai tokoh kontroversi yang kembali memegang jawatan Presiden setelah kes jenayah dan retorik agresif, kini memilih pendekatan berprofil rendah, bahkan mesra budaya apabila melakukan kunjungan ke Malaysia buat pertama kali sejak beliau menjadi Presiden Amerika Syarikat.

Ia bukan satu kebetulan, tetapi taktik yang disusun rapi untuk memulihkan pengaruh Amerika Syarikat di rantau ini bagi mengimbangkan pengaruh dan kuasa negara China di rantau ini.

Namun, kita harus berpandangan kritis dan jauh. Tidak salah untuk mentafsirkan atau memberikan makna, sama ada diplomasi disusun sedemikian rupa, atau sekadar sandiwara menjelang rundingan dagang dan geopolitik lebih besar?

Di sini, soal kredibiliti Trump masih tergantung, tetapi dalam analisis strategi, apa yang lebih penting ialah kesan tindakan, bukan niat.

Malaysia dan Anwar: Strategi lunak

Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dalam lawatan ini, memainkan peranan jauh lebih penting daripada sekadar tuan rumah.

Malaysia bukan sahaja menjadi tempat persidangan, tetapi paksi kepada pembentukan naratif baru ASEAN sebagai kuasa serantau berdaulat dan berpendirian tegas dalam kelunakan berdiplomasi.

Anwar menerima Trump dengan tangan terbuka, tetapi tidak menyerahkan prinsip. Dalam sidang media bersama, beliau secara terang menyokong perjuangan Palestin, menyatakan bahawa pelan damai Trump yang berisi 20 perkara itu memberi “glimmer of hope” atau harapan baharu di tengah situasi cabaran menangani isu Palestin yang selama ini membelenggu dunia Islam.

Situasi ini memancarkan pendekatan diplomasi lunak yang bijaksana dipancarkan oleh Anwar Ibrahim.

Dengan membuka ruang kepada kerjasama strategik tetapi tetap tegas dalam prinsip kemanusiaan dan keadilan, Anwar menampilkan wajah Malaysia baharu— negara sederhana yang bukan neutral pasif, tetapi aktif memposisikan diri sebagai jambatan Timur–Barat.

ASEAN progresif

Sidang ini juga menyaksikan dimensi baru dalam pendekatan kolektif ASEAN. Lazimnya dikritik sebagai blok yang lemah, tidak tegas dan lambat bertindak, kali ini ASEAN melakar sejarah — memeterai perjanjian damai antara Thailand dan Kemboja, dengan Trump dan Anwar sebagai penggerak utama.

Kesemua ini membuktikan bahawa dengan kepimpinan yang tegas dan berwawasan, ASEAN bukan lagi blok longgar, tetapi berpotensi menjadi penimbang kuasa serantau (regional balancer).

Sidang kemuncak ini juga menyaksikan kedatangan negara-negara luar ASEAN seperti Perdana Menteri China, Presiden Korea Selatan, Brazil, Afrika Selatan, Perdana Menteri Australia, New Zealand, Kanada, Jepun, Timbalan Perdana Menteri Russia, Presiden Majlis Kesatuan Eropah, Setiausaha Agung PBB.

Kehadiran nama-nama besar ini membuktikan Sidang Kemuncak ASEAN amat diyakini, dihormati dan dilihat berpotensi membentuk kuasa ekonomi yang progresif oleh pihak luar ASEAN.

Perdagangan: Untung bersyarat atau strategi?

Perjanjian perdagangan yang dimeterai turut memberi manfaat strategik kepada Malaysia. Trump mengumumkan pengurangan tarif untuk produk eksport Malaysia dalam sektor kritikal seperti semi konduktor dan farmaseutikal, sambil mengekalkan kadar tarif umum pada 19 peratus.

Sebagai balasan, Malaysia memberi akses kepada mineral kritikal — aset penting dalam konflik dagang AS–China.

Sebenarnya China juga mendapat akses yang sama, namun sejauh mana pembahagian sumber penerokaan dalam perdagangan belum lagi diperincikan.

Situasi ini memberikan peranan ASEAN yang dilihat tidak berpihak kepada mana—mana kuasa dunia, sebaliknya dilihat kepada kepentingan ekonomi ASEAN yang lebih luas dan bermanfaat kepada semua rakan ASEAN.

Tambahan pula, isu tarif tambahan untuk barangan antara penghantaran yang juga berasaskan China belum dibincangkan.

Aspek ini menimbulkan pelbagai tafsiran dinamik mengenai kemungkinan-kemungkinan strategi menangani tekanan melalui diplomasi lunak Anwar dan ASEAN.

Pada masa akan datang, rundingan ini dilihat sebagai hanya langkah pertama dalam siri tawar-menawar yang lebih kompleks. Drama real politik belum sepenuhnya bermula!

Trump baharu atau strategi sementara?

Nada mesra Trump di Malaysia — memuji pemimpin ASEAN sebagai ‘genius’ dan mengakui kesilapan lalu— berbeza sama sekali dengan retorik keras beliau di Perhimpunan Agung PBB sebulan sebelumnya ketika itu, beliau menyatakan bahawa Eropah sedang ‘menuju ke neraka’.

Adakah perubahan sentimen ini tulen? Atau adakah ia hanya pendekatan fleksibel taktikal demi rundingan lebih besar seperti pertemuan APEC bersama Presiden China Xi Jinping yang dijadualkan beberapa hari lagi di Korea Selatan selepas Trump berjumpa Perdana Menteri Jepun di Tokyo?

Dalam konteks ini, ada kalanya ASEAN perlu lebih berhati-hati. Keakraban diplomatik tidak boleh menjadi sebab untuk melonggarkan pendirian strategik.

Kesepakatan jangka pendek harus sentiasa dinilai dari sudut keberlanjutan jangka panjang dan impaknya terhadap kestabilan serantau.

Kesimpulan

Ternyata lawatan Trump ini membuktikan bahawa dunia tidak lagi berputar hanya di antara Washington dan Beijing.

Negara seperti Malaysia, melalui pemimpin seperti Anwar, mampu mencipta ruang strategik yang memanfaatkan peluang tanpa menggadai prinsip untuk kepentingan yang lebih besar untuk kemakmuran ASEAN.

Sementara Trump mungkin mendapat publisiti dan sokongan serantau, yang lebih penting ialah bagaimana ASEAN, melalui Malaysia, menunjukkan bahawa diplomasi bukan hanya tentang kuasa besar, tetapi tentang keberanian untuk memimpin secara adil dan bijaksana.

Zapin yang ditarikan Trump bukan sekadar gerak seni budaya. Ia adalah metafora bagi satu dunia baharu yang sedang terbentuk — dunia memperlihat kuasa sederhana mula menentukan rentaknya sendiri.

  • Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)
Tags: Dr Awang Azman

Continue Reading

Previous: Media sosial, tafsiran dan sumber sejarah
Next: Publisiti meluas untuk Malaysia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.