
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, semalam mendedahkan bahawa beliau telah menjalani imbasan MRI semasa lawatan terbaharunya ke hospital, sekali gus memberikan penjelasan pertama mengenai sebab beliau menjalani pemeriksaan perubatan kedua dalam tempoh setahun.
Ahli perniagaan Republikan itu yang akan berusia 80 tahun pada Jun sebelum ini dikritik kerana didakwa tidak telus mengenai tahap kesihatannya.
Lawatannya secara mengejut ke Pusat Perubatan Walter Reed di pinggir Washington awal Oktober lalu mencetuskan spekulasi lanjut mengenai keadaan fizikalnya.
“Saya ada jalani imbasan MRI. Keputusannya sempurna,” kata Trump kepada wartawan di atas pesawat Air Force One semalam.
“Saya telah memberikan laporan penuh kepada anda. Kami jalani imbasan MRI, keseluruhan proses, dan hasilnya sempurna,” tambahnya.
MRI atau magnetic resonance imaging digunakan untuk mendiagnosis pelbagai keadaan kesihatan, daripada tumor, strok dan sklerosis berbilang (multiple sclerosis) hinggalah kepada masalah ringan seperti koyakan otot dan keradangan.
Rumah Putih sebelum ini tidak pernah memberikan sebab rasmi bagi pemeriksaan kesihatan pada 10 Oktober itu, yang dianggap luar biasa memandangkan presiden biasanya hanya menjalani satu pemeriksaan menyeluruh setiap tahun.
Trump enggan menjelaskan punca beliau menjalani pemeriksaan itu, sebaliknya meminta wartawan merujuk perkara tersebut kepada pasukan doktornya.
“Tiada siapa pernah memberikan laporan seperti yang saya berikan. Jika saya fikir keputusannya tidak baik, saya juga akan beritahu anda. Saya tidak akan bertanding, saya akan lakukan perkara lain,” katanya.
“Namun doktor memaklumkan bahawa keputusan tersebut adalah antara yang terbaik bagi usia saya antara yang terbaik yang pernah mereka lihat.”
Sepanjang penggal keduanya, Trump sering dilihat mempunyai kesan lebam pada tangan kanannya, yang kadangkala ditutup dengan solekan tebal.
Rumah Putih menjelaskan keadaan itu berpunca daripada pengambilan aspirin sebagai sebahagian daripada program kesihatan kardiovaskular standard.
Pentadbiran beliau turut memaklumkan pada musim panas lalu bahawa presiden telah diperiksa kerana bengkak pada kakinya dan didiagnosis menghidap kekurangan vena kronik (chronic venous insufficiency).
Keadaan vena tersebut berpotensi menyebabkan kekejangan dan perubahan pada kulit — menjejaskan fungsi injap dalam urat, sekali gus menyebabkan darah terkumpul.
Walau bagaimanapun, ia boleh dirawat melalui rawatan ubat-ubatan atau prosedur perubatan yang sesuai.
Menurut kenyataan pentadbiran, semasa pemeriksaan keduanya itu, keputusan makmal termasuk saringan jantung berada dalam paras normal tanpa sebarang tanda penyakit arteri atau trombosis vena dalam (deep vein thrombosis).
“Presiden Trump terus menunjukkan tahap kesihatan keseluruhan yang sangat baik,” tulis doktornya, Kapten Tentera Laut Sean Barbabella, dalam surat yang dikeluarkan oleh Rumah Putih. – AFP