Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Trump akan lawat Malaysia, Jepun, Korea Selatan
  • GLOBAL

Trump akan lawat Malaysia, Jepun, Korea Selatan

Utusan Sarawak 9 hours ago
PRESIDEN AS Donald Trump bercakap semasa pertemuan dengan Perdana Menteri Australia Anthony Albanese di Bilik Kabinet di Rumah Putih di Washington, DC, pada 20 Oktober 2025. Foto AFP

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Isnin berkata beliau akan mengadakan lawatan ke Malaysia, Jepun dan Korea Selatan dalam masa terdekat sambil menegaskan hasratnya untuk terus “bersikap baik terhadap China”, lapor Agensi Berita Kyodo.

Meskipun ketegangan perdagangan antara AS dan China kembali meningkat, Trump sekali lagi menzahirkan nada optimis menjelang kemungkinan pertemuannya dengan Presiden China Xi Jinping minggu depan di Korea Selatan.

“Kami akan mengadakan perjanjian yang adil. Saya mahu bersikap baik terhadap China. Saya amat menghargai hubungan saya dengan Presiden Xi,” kata Trump di Rumah Putih ketika sesi panjang bersama wartawan semasa pertemuannya dengan Perdana Menteri Australia Anthony Albanese.

“Kami fikir itu tempat yang sesuai untuk bertemu, dan kami akan bertemu. Saya akan berada di Malaysia, saya akan berada di Jepun,” katanya.

Trump sebelum ini berulang kali menyatakan bahawa beliau dijadual mengadakan pertemuan dengan Xi apabila kedua-dua mereka berada di Korea Selatan bagi menghadiri sidang kemuncak ekonomi Asia-Pasifik akhir Oktober ini.

Bagaimanapun, ini merupakan kali pertama Trump secara terbuka menyebut rancangan lawatan beliau ke Malaysia dan Jepun. Beliau tidak menghuraikan lebih lanjut mengenai butiran lawatan itu

Sumber kerajaan Jepun memaklumkan Trump dijangka mengadakan lawatan tiga hari ke Jepun mulai 27 Oktober selepas menghadiri persidangan serantau di Malaysia yang turut disertai negara-negara Asia Tenggara dan rakan-rakan sekutunya.

Selepas lawatan ke Jepun, Trump akan meneruskan perjalanan ke Korea Selatan, menurut sumber berkenaan.

Lawatan Asia yang bakal berlangsung ini merupakan yang pertama sejak beliau memulakan penggal kedua sebagai presiden pada Januari lalu.- Bernama-Kyodo

Continue Reading

Previous: ‘Scream Club’ di London bantu golongan muda lepaskan tekanan
Next: Barisan kabinet Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba letak jawatan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.