KUCHING: Pasukan Trifold X yang mewakili Kelab Anak Asal Bukit Saban (KAABS) mencipta kejayaan membanggakan apabila muncul juara Artificial Filmmaking Hackathon Creators Lab Malaysia 2026 di Muzium Telekom, Kuala Lumpur, kelmarin.
Kemenangan itu sekali gus melayakkan Trifold X membawa nama Malaysia ke Asia TV Forum & Market (ATF) 2026 di Singapura pada Disember ini, untuk bersaing di pentas serantau bersama pasukan dari Singapura, Indonesia, Thailand, Filipina dan United Kingdom.
Pasukan berkenaan diketuai oleh Dr Louis Laja Uggah, Pengarah TRIFOLD X Sdn Bhd merangkap Penasihat KAABS, serta dianggotai Mixson Blaki, Nehemia Raymond Segar dan Cornelius Mambang Jimbat.
Lebih mencabar, pertandingan pembikinan filem berasaskan kecerdasan buatan (AI) itu menetapkan tempoh hanya empat jam kepada setiap pasukan untuk menghasilkan sebuah episod perintis drama pendek.
Dalam tempoh singkat itu, peserta memanfaatkan teknologi Seedance 2.0 dan 2.5 sebelum karya masing-masing dipertontonkan kepada tetamu industri, pengamal media dan rakan kongsi platform.
Program tersebut merupakan peringkat kebangsaan Malaysia bagi siri Creators Lab AIGC yang sebelum ini dianjurkan di Los Angeles dan Singapura.
Sebanyak 20 pasukan menyertai pertandingan berkenaan, termasuk masing-masing satu pasukan dari Sarawak dan Sabah serta 18 pasukan dari Semenanjung Malaysia.
Sebagai juara, Trifold X membawa pulang Anugerah Emas berupa kredit Seedance AI bernilai RM3,000, manakala Aksara meraih Anugerah Perak bernilai RM2,000 dan KNKV Next memenangi Anugerah Gangsa bernilai RM1,000.
Bagi Trifold X dan KAABS, kejayaan itu bukan sekadar kemenangan dalam pertandingan, sebaliknya membuktikan bakat anak Sarawak, khususnya dari Bukit Saban, mampu menembusi bidang teknologi kreatif dan diketengahkan ke pentas antarabangsa.
Gabungan kreativiti, teknologi AI dan kekuatan penceritaan kini membuka laluan baharu buat bakat tempatan untuk bersaing di peringkat lebih tinggi, sekali gus menjadikan kejayaan Trifold X sebagai pencapaian yang wajar dibanggakan Sarawak.
Oleh Adi Safarman




