KUCHING: Trend kebakaran terbuka di Sarawak menunjukkan peningkatan ketara dalam tempoh tiga hari sejak 7 Ogos lalu, sekali gus membimbangkan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak kerana keadaan itu boleh memburukkan lagi jerebu yang sedang melanda negeri ini.
Timbalan Pengarah JBPM Sarawak, PPjB Tiong Ling Hii, berkata peningkatan itu direkodkan berdasarkan analisis trend kebakaran terbuka di negeri ini bagi tempoh 1 hingga 9 Ogos lalu.
“Keadaan itu lebih membimbangkan susulan jangkaan jerebu rentas sempadan yang akan memberi kesan signifikan terhadap keadaan cuaca di Sarawak.
“Jangkaan berkenaan dibuat berdasarkan Laporan Analisis Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) dan Analisis Ramalan Sistem Ramalan Kualiti Udara Berasaskan Model CMAQ Malaysia (MyCMAQ) yang dikeluarkan pada 9 Ogos lalu.
“Keadaan ini amat membimbangkan sekiranya aktiviti pembakaran terbuka tidak dikawal sepenuhnya kerana ia boleh memburukkan lagi keadaan jerebu yang sedang melanda,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, JBPM Sarawak menyeru orang awam supaya menghentikan sebarang aktiviti pembakaran terbuka bagi mengelakkan keadaan jerebu menjadi lebih buruk, terutama ketika jerebu rentas sempadan sedang melanda negeri ini.
Dalam pada itu, JBPM Sarawak akan terus meningkatkan aktiviti rondaan bagi mengenal pasti sebarang aktiviti pembakaran terbuka yang dilakukan oleh orang awam.
Tiong berkata pihaknya turut mengambil pendekatan dengan memberikan nasihat secara berterusan kepada pihak yang sengaja melakukan pembakaran terbuka.
“Pihak yang masih ingkar akan dilaporkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya,” tegasnya.




