
KUCHING: Sebuah treler membawa muatan kira-kira 30 tan buah kelapa sawit terbalik dalam kejadian di laluan berselekoh berhampiran Kampung Jirok, Jalan Sri Aman-Simunjan/Serian, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Simunjan DSP Rafhan Kepli berkata treler yang dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun itu dilaporkan sedang menghala dari Saratok ke Serian.
“Kemalangan 9.45 pagi itu berlaku apabila treler berkenaan secara tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kiri jalan raya dan menyebabkan muatan buah sawit bertaburan di atas jalan raya.
“Keadaan itu menyebabkan laluan kedua-dua lorong dari arah Sri Aman menghala ke Serian terhalang. Semasa kemalangan, hujan renyai-renyai dan permukaan jalan basah. Pemandu treler berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rafhan berkata laluan itu telah dibuka semula kepada orang awam sekitar 11.30 pagi tadi selepas buah sawit berkenaan dialihkan ke tepi jalan oleh pekerja syarikat terlibat.
Beliau berkata kerja-kerja memindahkan sawit ke treler lain masih diteruskan tanpa menjejaskan pergerakan kenderaan dan setakat ini keadaan lalu lintas dilaporkan terkawal.
Rafhan berkata kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959.
Terdahulu, kemalangan berkenaan turut tular di media sosial selepas beberapa pengguna jalan raya memuat naik rakaman video dan gambar kejadian yang menunjukkan kesesakan trafik panjang menghala ke Kuching. – Bernama