IPOH: Sebuah treler membawa muatan 22,000 liter oksigen cecair (UN 1072) terbabas sebelum terbalik di bahu jalan di KM 391.9 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan selepas Hentian Rehat Gua Tempurung dekat sini, awal pagi semalam.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pemeriksaan yang dibuat secara berhati-hati termasuk menggunakan sut kalis api bersama alat pernafasan mendapati tiada sebarang kebocoran dikesan setakat ini.
“Pihak bomba masih lagi menjalankan operasi di kawasan terlibat bagi memastikan benar-benar tiada kebocoran.
“Kami menerima panggilan kira-kira jam 6.31 pagi dan segera mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah serta bantuan daripada BBP Gopeng bagi kerja-kerja menyelamat,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Pemandu dan kelindan lori mengalami kecederaan ringan dan berjaya keluar sendiri dari kenderaan yang terbalik.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah Supt Wan Azharuddin Wan Ismail berkata hasil soal siasat mendapati punca kejadian disebabkan pemandu yang beralamat di Padang Serai, Kedah itu mengantuk.
Beliau berkata, keadaan cuaca baik ketika trelerĀ terbabas di kawasan jalan lurus dan cerun menurun itu.
“Aliran trafik juga dilaporkan bergerak lancar di lokasi kejadian,” katanya. – BERNAMA